Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil tingkat sosioekonomi

Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil tingkat sosioekonomi pekebun kecil sawit

AHMAD Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB menandatangani plak Perasmian Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Sungai Terbuang 2, Batu Kurau, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) terbukti memberi impak langsung kepada peningkatan sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian, bukan sahaja melalui penambahbaikan akses ke kebun sawit, malah dengan merangsang pelaksanaan penanaman semula sawit yang lebih tersusun.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, pihaknya melaksanakan projek JLPK Sungai Terbuang 2 dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Larut Matang dan Selama dengan peruntukan berjumlah RM247,986.

Katanya, peruntukan tersebut adalah bagi skop bantuan pembinaan jambatan serta kerja menaik taraf jalan ladang sepanjang 800 meter untuk manfaat pekebun kecil serta penduduk setempat.

”Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPOB dan kerjasama Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) menyediakan sokongan kewangan melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0). 

“Skim ini ditawarkan dalam bentuk geran padanan dengan pembayaran balik hanya bermula pada tahun kelima selepas kelulusan, sekali gus meringankan beban kewangan pekebun kecil,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pelaksanaan JLPK meningkatkan permohonan TSPKS 2.0 dalam kalangan pekebun kecil setempat.

“Ini kerana kini mereka lebih yakin untuk melaksanakan aktiviti penanaman semula dengan jalan ladang yang telah ditambah baik serta memudahkan urusan logistik dan pengangkutan,” kata ketika berucap di Majlis Perasmian Jalan Ladang Pekebun Kecil Sungai Terbuang 2 di bawah Program Santuni MADANI di Batu Kurau, Perak semalam.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan sosioekonomi pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada harga pasaran minyak sawit dan tandan buah segar (TBS), tetapi turut dipengaruhi oleh faktor-faktor pengeluaran seperti penggunaan bahan tanaman berkualiti, pembajaan, amalan pertanian baik (GAP), kawalan penyakit dan perosak serta ketinggian pokok sawit tua yang boleh meningkatkan kos penuaian.

“Dengan jalan ladang yang telah dinaik taraf, semua input pertanian dapat diuruskan dengan lebih cekap dan kos yang lebih berpatutan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil,” tambahnya.

Menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2026, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan ladang di seluruh negara bagi menambah baik kemudahan laluan dan kelancaran operasi ladang bagi pekebun kecil.

Sehingga 30 November 2025, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah menyalurkan peruntukan bagi tujuh projek JLPK yang telah diluluskan di Negeri Perak dengan peruntukan berjumlah RM1.7 juta.

Selain itu, MPOB turut menzahirkan komitmen terhadap kesejahteraan komuniti setempat dengan menaik taraf kemudahan Masjid Jamek Kampung Yaman Batu 20 melalui sumbangan Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam MPOB (PKKIM) serta peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Perak melibatkan jumlah keseluruhan RM120,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN