PETALING JAYA: Pemerolehan kontrak terbaharu bagi Projek Grid Bekalan Air Serantau Betong di Sarawak dijangka melonjakkan buku pesanan tertunggak Insights Analytics Berhad sebanyak 192 peratus kepada RM88.8 juta.
CIMB Securities berkata, perkembangan tersebut menjadikan syarikat itu berada pada landasan pertumbuhan lebih kukuh.
“Setakat 30 November 2025, baki buku pesanan tertunggak Insights Analytics berada pada paras RM30.4 juta, sebelum mengambil kira kontrak terbaharu tersebut.
“Kumpulan berkenaan kini memiliki buku tender aktif dianggarkan antara RM200 juta hingga RM250 juta bagi projek yang disertai secara langsung sebagai pembida utama.
“Anggaran ini tidak termasuk potensi tambahan daripada anugerah subkontrak, yang berpotensi memberikan peningkatan lanjut kepada buku pesanan syarikat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma itu berkata, unjuran kewangan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 telah mengambil kira kira-kira RM130 juta pemerolehan kontrak baharu, dengan kontrak terkini menyumbang secara signifikan ke arah memenuhi andaian tersebut.
“Sebarang tambahan pemerolehan kontrak bernilai sekitar RM71.6 juta yang diiktiraf sepanjang tahun kewangan 2026 hingga 2028 akan memberikan peningkatan kepada unjuran pendapatan semasa kami,” ujarnya.
Terdahulu, Insights Analytics mengumumkan penerimaan surat anugerah (LOA) daripada Bumia Sdn. Bhd. untuk bertindak sebagai subkontraktor bagi projek Grid Bekalan Air Serantau Betong.
Skop kerja melibatkan kerja-kerja paip, mekanikal dan elektrikal serta kerja infrastruktur, dengan nilai kontrak tetap berjumlah RM58.4 juta.
CIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Insights Analytics, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.10, mencerminkan prospek pertumbuhan pendapatan yang positif disokong oleh keterlihatan perolehan yang semakin kukuh. – UTUSAN










