Pengambilalihan IJM oleh Sunway hasilkan entiti dengan aset hampir RM50 bilion - Utusan Malaysia

Pengambilalihan IJM oleh Sunway hasilkan entiti dengan aset hampir RM50 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilalihan IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd dijangka menghasilkan entiti dengan aset bernilai hampir RM50 bilion, termasuk tanah seluas 2,300 hektar dan buku tempahan projek bernilai RM13 bilion.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, dengan risiko dan tuntutan pengawalseliaan, gabungan ini tetap memberi manfaat besar dalam menjayakan projek berskala mega, memperkukuh infrastruktur nasional dan meningkatkan kredibiliti korporat Malaysia di mata pelabur domestik dan global.

“Pengambilalihan ini adalah lumrah dalam dunia korporat. IJM sendiri pernah mengambil alih Industrial Concrete Bhd. pada 2004 dan Road Builders Bhd. pada 2008 dan kini giliran Sunway pula pada 2026.

“Entiti ini dijangka lebih berdaya saing untuk menyertai tender infrastruktur mega seperti lebuh raya, pelabuhan, pusat data dan kemudahan industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk mengambil alih IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan nilai keseluruhan urus niaga dianggarkan sekitar RM11 bilion.

Melalui tawaran tersebut, Sunway akan memperoleh semua saham biasa IJM yang belum dimiliki, tidak termasuk saham perbendaharaan, sekali gus meletakkan kumpulan gabungan sebagai konglomerat hartanah dan pembinaan terbesar di Malaysia dari segi hasil serta jumlah aset.

Menurut beliau, pengambilalihan ini menggabungkan aset pelabuhan, konsesi tol dan kilang milik IJM dengan projek Sunway dalam sektor hartanah, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

“Dari segi operasi, gabungan itu dijangka meningkatkan kecekapan melalui perkongsian teknologi pembinaan, penambahbaikan sistem perolehan serta integrasi pusat prefabrikasi Sunway,” katanya.

Barjoyai juga menjangkakan pengambilalihan Sunway ke atas IJM bakal menyaksikan penambahbaikan kewangan yang ketara, dengan aset dijangka meningkat kepada sekitar RM53 bilion, naik 69 peratus, manakala ekuiti pula dijangka mencecah RM26 bilion, meningkat 64 peratus.

“Buku pesanan atau tempahan kumpulan itu pula dijangka melonjak 131 peratus kepada RM14.8 bilion, manakala pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2026 dijangkakan naik 17.8 peratus,” katanya.

Menurut beliau, penggabungan ini dijangka mendominasi projek mega dan tender kerajaan, menimbulkan cabaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kurang modal dan teknologi.

“Namun, PKS masih berpeluang terlibat sebagai subkontraktor atau pembekal bahan dalam rantaian bekalan kumpulan gergasi ini.

“Keperluan PKS untuk melabur dalam transformasi digital, teknologi hijau dan sistem pengurusan projek bagi kekal relevan dan bersaing,” katanya.

Barjoyai berkata, Sunway dijangka menggunakan aset IJM untuk menaik taraf logistik, hab industri, dan teknologi pembinaan mampan terutamanya di Pulau Pinang dan utara Semenanjung.

“Kawasan seperti Iskandar Puteri, Bukit Chagar (RTS ke Singapura) dan tanah IJM di Johor bakal menerima suntikan modal dan pembangunan berprestasi tinggi.

“Selain itu, kesan pengambilalihan turut dirasai di pasaran modal, apabila indeks Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan selepas pengumuman, menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, cadangan pengambilalihan antara kumpulan Sunway dan IJM menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati ekonomi, terutamanya berkaitan kesan terhadap ekuiti bumiputera dan persaingan dalam industri hartanah.

Katanya, penggabungan kedua-dua syarikat gergasi ini berpotensi menjadikan Sunway lebih dominan dalam pasaran, sekali gus meningkatkan risiko monopoli.

“Situasi ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan pasaran hartanah, kerana kuasa pasaran yang terlalu tertumpu kepada satu entiti boleh mengekang persaingan dan inovasi.

“Jika pengambilalihan ini dilaksanakan, penguasaan pasaran oleh satu pihak boleh mengurangkan peluang syarikat lain untuk bersaing secara adil, yang seterusnya memberi impak kepada ekuiti bumiputera dalam sektor hartanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN