Pelan asas insurans serendah RM50, dijangka dilaksana 2027

Pelan asas insurans serendah RM50, dijangka dilaksana Januari 2027

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) mampu milik dijangka memasuki fasa pelaksanaan penuh pada Januari 2027 dengan harga pelan bermula dari RM50.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, projek perintis bagI MHIT dirancang bermula pada separuh kedua 2026. 

Katanya, MHIT disasarkan sebagai pelan mampu milik, namun ia bukan skim percuma dan masih melibatkan bayaran premium dan pengguna tidak diwajibkan membeli perlindungan tambahan dan hanya ditawarkan secara pilihan kepada mereka yang memerlukan perlindungan lebih luas.

“Projek perintis MHIT akan dilaksanakan pada separuh kedua 2026 dengan penyertaan syarikat insurans secara sukarela. 

“Antara penunjuk kejayaan yang dinilai sebelum pelaksanaan penuh pada 2027 termasuk tahap penerimaan orang ramai, keupayaan sistem dan operasi penanggung insurans, kebolehliputan kepada lebih ramai pengguna serta keseimbangan antara kos dan keperluan perlindungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada taklimat media inisiatif RESET oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) di Sasana Kijang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Sementara itu  Abdul Rasheed berkata, berdasarkan kertas putih yang telah diterbitkan hari ini, anggaran premium bagi individu berumur antara 31 hingga 35 tahun adalah sekitar RM50 hingga RM120 sebulan, manakala bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun, premium dianggarkan antara RM250 hingga RM280 sebulan. 

“Perlindungan ditawarkan sehingga umur 85 tahun, dengan polisi boleh dibeli sehingga umur 70 tahun. 

“Had perlindungan tahunan bagi individu bawah 60 tahun ditetapkan sehingga RM100,000, manakala had lebih tinggi disediakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas,” ujarnya.

Pelan MHIT asas ialah pelan insurans dan takaful kesihatan berbentuk sukarela yang diseragamkan serta berasaskan nilai, mampan dan mudah difahami.

Kertas Putih dibangunkan untuk mencapai objektif dasar awam yang iaitu membolehkan lebih banyak rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kewangan tahap asas untuk menghadapi perbelanjaan penjagaan kesihatan penting dan berimpak tinggi.

Selain itu, ia juga bagi menyalurkan perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta dengan lebih cekap bagi melengkapi secara lebih baik akses sejagat kepada perkhidmatan kesihatan awam dan mempercepat kemajuan ke arah penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Pelan tersebut direka untuk memberikan perlindungan yang bermakna kepada individu yang mahukan perlindungan penjagaan kesihatan swasta serta bagi mereka yang mencari pilihan tambahan disebabkan oleh pelarasan premium atau perubahan pada keadaan kewangan mereka. 

Pembangunan pelan MHIT asas ini bertujuan mengimbangi kemampuan dengan perlindungan sepanjang hayat, di samping mengekalkan ruang persaingan antara syarikat insurans dan pengendali takaful  (ITO) untuk menawarkan produk yang lebih menyeluruh serta memenuhi keperluan dan segmen pasaran yang berbeza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN