PETALING JAYA: Sektor kecerdasan buatan (AI) dijangka memacu aliran pelaburan pada 2026, menandakan peralihan daripada optimisme berlebihan kepada fokus terhadap prestasi kewangan sebenar.
Ketua Strategi Pasaran, Asia Tenggara, Moomoo, Isaac Lim berkata, pelabur menumpukan perhatian bukan sekadar pada syarikat berlabel AI, tetapi kepada pemain dalam rantaian sokongan, terutamanya segmen semikonduktor bernilai tambah tinggi serta ekosistem pusat data.
Katanya, ini termasuk penyedia infrastruktur industri, penyelesaian tenaga dan penyejukan, perkhidmatan kejuruteraan, serta rangkaian gentian optik, yang menikmati manfaat daripada perbelanjaan modal (capex) yang telah diperuntukkan.
“Namun, sentimen pasaran dan kebimbangan terhadap prospek global boleh menekan prestasi saham, apabila pelabur lebih memberi keutamaan kepada panduan pendapatan masa hadapan berbanding keputusan kewangan semasa,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, sektor peralihan tenaga juga dijangka terus relevan pada 2026, tetapi ganjaran sebenar akan memihak kepada syarikat yang mampu melaksanakan projek dengan berkesan.
“Selain pemaju tenaga boleh diperbaharui, perhatian pelabur semakin tertumpu kepada syarikat sokongan yang menyediakan penyelesaian grid, infrastruktur kuasa, penyambungan rangkaian dan kecekapan tenaga.
“Nilai pelaburan menjadi lebih ketara apabila projek bergerak daripada peringkat pengumuman kepada pelaksanaan sebenar. Faktor seperti kematangan projek, kejelasan peraturan, kebolehnampakan perjanjian jual beli tenaga serta kekuatan kunci kira-kira syarikat menjadi penentu utama,” katanya.
Beliau berkata, dengan 2026 dilihat sebagai “tahun peralihan” selari dengan dasar kerajaan dan momentum integrasi serantau, sektor infrastruktur, pembinaan dan logistik berpotensi menikmati aliran kerja lebih stabil.
“Projek berkaitan kesalinghubungan, logistik, dan infrastruktur industri dijangka menyumbang kepada pendapatan berulang,” katanya.
Isaac berkata, perbezaan utama bukan jumlah kontrak dimenangi, tetapi kemampuan syarikat menukar projek kepada aliran tunai sebenar.
“Syarikat dengan pengurusan modal kerja berdisiplin, kawalan risiko projek, dan kunci kira-kira kukuh berada pada kedudukan lebih baik,” katanya.
Selain itu, perbankan masih berpotensi menjadi tunjang portfolio pada 2026, disokong dividen dan jangkaan kadar faedah stabil.
“Namun, pertumbuhan pinjaman yang kukuh dalam keadaan kecairan sistem mengetat boleh meningkatkan persaingan deposit dan menekan margin keuntungan.
“Bank dengan asas pembiayaan kukuh, pendapatan yuran mampan, dan penampan kualiti aset yang baik dijangka mengatasi pesaing,” katanya.
Secara keseluruhan, 2026 dijangka tidak memihak kepada strategi pelaburan “tabur dan harap”.
“Pelabur digesa mengambil pendekatan aktif dan berdisiplin, fokus pada sektor yang menawarkan keterlihatan pendapatan dan momentum struktur sebenar,” katanya.
Dalam konteks makro, trajektori fiskal Malaysia semakin positif, dengan defisit diunjur menyusut daripada 3.8 peratus pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berterusan, termasuk RM91.1 bilion diluluskan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi sembilan bulan pertama 2025.
“Namun, kepimpinan pasaran ekuiti tetap bergantung kepada pelaksanaan, prestasi pendapatan dan keadaan kecairan, di samping risiko dasar luar yang boleh mengubah sentimen global dengan pantas,” katanya. – UTUSAN










