Pacific West lancar tujuh produk makanan laut baharu - Utusan Malaysia

Pacific West lancar tujuh produk makanan laut baharu

JOSEPH LIM berucap ketika Majlis Pelancaran Produk Makanan Laut Baharu Pacific West, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pacific West, antara jenama makanan sejuk beku paling dipercayai di Malaysia, melancarkan tujuh produk makanan laut baharu sempena memasuki tahun ke-26 operasinya di negara ini.

Pelancaran itu sekali gus memperkukuh hala tuju pertumbuhan perniagaan ke arah RM86 juta menjelang tahun kewangan 2028/2029.

Pengurus Besar Pacific West, Joseph Lim berkata, perubahan pantas tabiat pemakanan pengguna, termasuk peningkatan budaya makan di luar, permintaan terhadap kemudahan dan pengalaman makanan setanding restoran mendorong syarikat memperluaskan portfolio produk serta memperkukuh strategi saluran pasaran.

“Selama 26 tahun, Pacific West dibina atas asas kepercayaan dengan menawarkan makanan laut terbaik dan kualiti konsisten.

“Pelancaran ini menandakan lembaran baharu apabila kami berkembang ke hadapan, memasuki kategori baharu dan menawarkan penyelesaian makanan laut bernilai tinggi merangkumi segmen runcit dan perkhidmatan makanan,” katanya dalam kenyataan.

Tujuh produk baharu yang diperkenalkan ialah Pacific West Chunky Cod Bites (300g), Pacific West Crumbed Hoki Fish Fillets (340g), Pacific West Tempura Cod Fish Fillets (310g), Pacific West Breaded Oysters (400g), Pacific West Tempura Barramundi Fish Fillets (480g), Pacific West Crispy Battered Snapper Fish Fillets (480g) dan Pacific West Blue Cod Fish Cocktails – Skin On (300g).

Rangkaian itu dibangunkan menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi dengan penekanan terhadap rasa dan tekstur konsisten, fleksibiliti penyediaan serta prestasi boleh dipercayai untuk kegunaan masakan di rumah dan dapur profesional.

Pelancaran produk akan dimulakan menerusi pendekatan runcit terlebih dahulu bagi membina kesedaran dan percubaan pengguna melalui pasar raya serta kedai runcit, sebelum diperluaskan ke segmen perkhidmatan makanan termasuk restoran perkhidmatan pantas, kafe, pengusaha makanan dan restoran premium.

Menurut Joseph, dari segi prestasi kewangan, mencatatkan jualan RM42 juta bagi tahun kewangan 2024/2025 dan menyasarkan RM50 juta bagi tahun kewangan 2025/2026.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, syarikat menyasarkan RM86 juta menjelang tahun kewangan 2028/2029, mewakili pertumbuhan diunjurkan sebanyak 73 peratus.

“Sasaran itu akan dipacu oleh pengembangan kategori baharu, pertumbuhan saluran pasaran serta pengenalan produk yang mampu mencetuskan permintaan aktif dalam kalangan pengguna,” katanya.

Pacific West yang sudah lebih dua dekad bertapak di Malaysia dikenali sebagai jenama isi rumah dengan piawaian kualiti konsisten dan rasa yang boleh dipercayai, merangkumi pelbagai rangkaian produk makanan laut.

Memasuki tahun ke-26, jenama itu kekal relevan dalam pasaran tempatan dan terus komited menyediakan penyelesaian makanan laut kepada isi rumah serta industri makanan dan minuman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN