One Gasmaster Holdings sasar RM19.38 juta di Pasaran ACE

One Gasmaster Holdings sasar RM19.38 juta di Pasaran ACE

IVAN Tan (tiga dari kiri) bersama barisan pengurusan tertinggi kumpulan ketika pelancaran prospektus di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: One Gasmaster Holdings Berhad (One Gasmaster) menyasarkan mengumpul RM19.38 juta bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui penerbitan 77.5 juta saham biasa baharu pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad.

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 310 juta saham dan harga IPO tersebut, permodalan pasaran One Gasmaster dianggarkan berjumlah RM77.50 juta selepas penyenaraian.

Pengarah Urusan One Gasmaster, Ivan Tan berkata, IPO itu menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat. 

“Selama hampir tiga dekad, kami telah membina reputasi sebagai penyedia penyelesaian khusus yang dipercayai dalam bidang pemantauan alam sekitar dan kebersihan industri. 

“Dengan sokongan pasaran modal, kami berada pada kedudukan yang kukuh untuk memperluaskan keupayaan, mempelbagaikan tawaran perkhidmatan dan mengukuhkan kehadiran serantau kami di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, semalam. 

Beliau berkata, pengembangan syarikat ke dalam penyelesaian kawalan pelepasan hadir pada masa yang tepat.

“Ia selari dengan peralihan global ke arah pematuhan nyah karbon serta peningkatan usaha kerajaan untuk memperkukuh peraturan alam sekitar seperti Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF). 

“Digabungkan dengan pengembangan makmal penentukuran kami, inisiatif ini mengukuhkan komitmen kami untuk membantu pelanggan memenuhi keperluan kawal selia, meningkatkan kelestarian operasi dan mewujudkan nilai jangka panjang,” ujarnya. 

Hasil daripada IPO itu akan diperuntukkan sebanyak 19.41 peratus bagi memperluaskan tawaran perkhidmatan kumpulan merangkumi penyediaan penyelesaian kawalan pelepasan dan penubuhan sebuah makmal penentukuran tambahan di pejabat Damansara (8.66 peratus). 

Selain itu, bagi penubuhan pejabat cawangan baharu serta makmal penentukuran di Johor, Terengganu dan Pulau Pinang diperuntukan sebanyak 25.22 peratus, manakala baki hasil akan digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan serta menampung perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu.

Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, One Gasmaster Holdings telah membina asas kukuh melalui penyelesaian bersepadu dalam pemantauan alam sekitar, kebersihan industri dan pengesanan gas, disokong oleh pasukan pengurusan berpengalaman serta reputasi industri yang baik. 

“Kami percaya kumpulan memasuki pasaran pada masa yang sesuai, sejajar dengan penekanan yang semakin meningkat terhadap pematuhan alam sekitar dan keperluan kebersihan industri di Malaysia. 

“IPO ini akan menyediakan platform kepada One Gasmaster Holdings untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan seterusnya,” ujarnya. 

Seiring dengan pelancaran prospektus IPO itu, tempoh permohonan IPO syarikat bermula 12 Januari 2026 dan akan ditutup pada 16 Januari 2026 pukul 5 petang dengan penyenaraian dijadualkan pada 27 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×