Ninja Van Malaysia sasar pertumbuhan hingga 10 peratus - Utusan Malaysia

Ninja Van Malaysia sasar pertumbuhan hingga 10 peratus

LIN Zheng ketika ditemui pemberita semasa jamuan media dan refleksi pencapaian NinjaVan pada 2025 serta hala tuju industri pada 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ninja Van Malaysia menjangkakan pertumbuhan antara lima hingga 10 peratus tahun ini, didorong terutamanya oleh pengembangan perkhidmatan logistik perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bersepadu yang semakin menjadi keperluan utama pelanggan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Lin Zheng berkata, syarikat itu melihat perubahan ketara dalam permintaan pelanggan yang kini memerlukan penyelesaian logistik menyeluruh, bukan sekadar penghantaran jarak terakhir.

Menurut beliau, Ninja Van telah memperluaskan perkhidmatannya daripada logistik B2B asas kepada penyelesaian lebih komprehensif termasuk muatan separa (less-than-truckload), muatan penuh (full truckload), pergudangan, rentas sempadan serta penghantaran pelbagai saiz, daripada kecil hingga besar.

“Kami menyedari pelanggan mempunyai keperluan logistik yang jauh lebih luas. Justeru, fokus kami adalah untuk meliputi semua aspek rantaian logistik yang mereka perlukan. 

“Apabila kami mampu memenuhi lebih banyak keperluan pelanggan, di situlah pertumbuhan akan berlaku. Keupayaan ini dibina hasil pelaburan dan pengalaman yang dikumpul sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jamuan media dan refleksi pencapaian NinjaVan pada  2025 serta hala tuju industri pada 2026.

Mengulas prestasi operasi, Lin Zheng berkata,  Ninja Van Malaysia mengendalikan jumlah bungkusan bernilai melebihi RM2 bilion pada tahun lalu, namun enggan mendedahkan angka tepat.

Dalam pada itu, beliau mengakui pelaksanaan dasar BUDI 95 memberi kesan kepada sebahagian pemandu bebas yang bergantung kepada peruntukan bahan api bersubsidi.

“Kami telah menyalurkan maklum balas melalui persatuan kepada Kementerian Kewangan. Dimaklumkan pihak kementerian sedang meneliti cadangan yang dikemukakan dan menilai keperluan untuk menyemak semula dasar tersebut,” katanya.

Mengulas strategi menarik lebih ramai pemain e-dagang, Lin Zheng berkata, Ninja Van memberi tumpuan kepada penawaran rangkaian perkhidmatan yang lebih luas kerana penghantaran jarak terakhir semata-mata semakin bersifat komoditi.

“Kami menawarkan penyelesaian menyeluruh merangkumi perolehan e-dagang, logistik rentas sempadan, rantaian sejuk dan B2B. Ini selari dengan perjalanan pertumbuhan usahawan tempatan yang bermula kecil, kemudian berkembang ke runcit fizikal dan seterusnya eksport,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN