MIVSB, ALAA Consultancy pacu teknologi tinggi tempatan

MIVSB, ALAA Consultancy pacu teknologi tinggi tempatan ke peringkat global 

MOHAMAD Azriani Abd. Aziz (dua kiri) dan Husna Nashim ketika pertukaran dokumen MoU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIMOS International Venture Sdn. Bhd. (MIVSB) memeterai kerjasama strategik dengan ALAA Consultancy (M) Sdn. Bhd. (ACSB) bagi mempercepatkan pengembangan teknologi tinggi tempatan ke pasaran antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai teknologi global.

Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan MIVSB, Mohamad Azriani Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ACSB, Husna Nashim.

Majlis berkenaan disaksikan Pengerusi ACSB, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Holdings Sdn. Bhd. merangkap Pengarah Eksekutif MIVSB, Razman Jaafar.

MIVSB ditubuhkan sebagai platform utama pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) nasional, khususnya inovasi berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh MIMOS Berhad, dengan matlamat menterjemahkan kecemerlangan penyelidikan kepada nilai ekonomi sebenar.

Menerusi kerjasama ini, MIVSB akan memanfaatkan rangkaian antarabangsa ACSB bagi membuka akses kepada pelabur dan rakan industri global, khususnya dari Asia Barat, Afrika Utara dan Asia Tengah.

Mohamad Azriani berkata, Malaysia telah lama membangunkan teknologi bertaraf dunia, namun keutamaan kini adalah memastikan inovasi tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa secara mampan dan berskala besar.

“Kerjasama ini mengukuhkan peranan MIVSB sebagai penghubung strategik antara R&D nasional dan peluang komersial global, sekali gus mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi tinggi tempatan,” katanya dalam kenyataan. 

Majlis pemeteraian tersebut turut dihadiri wakil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Türkiye, mencerminkan peningkatan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan teknologi tinggi Malaysia.

Sementara itu, Madinah berkata, ACSB komited menyokong aspirasi global MIVSB dengan menyediakan seni bina modal melalui rangkaian dana kedaulatan serta rakan strategik antarabangsa yang dimiliki syarikat itu.

“Kerjasama strategik ini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara termasuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi, mempercepat pengkomersialan harta intelek tempatan serta meningkatkan pulangan ekonomi daripada pelaburan R&D awam,” katanya. 

Dalam pada itu, Razman berkata, inisiatif berkenaan menyokong model penglibatan antarabangsa yang mampan dan berisiko rendah, di samping memastikan hasil penyelidikan negara diterjemahkan kepada impak ekonomi yang nyata.

“Sebagai langkah awal, MIVSB dan ACSB akan mengenal pasti platform teknologi berimpak tinggi untuk pelaburan rentas sempadan serta penstrukturan usaha sama, selaras dengan pelan hala tuju jangka panjang meletakkan teknologi deep tech Malaysia di pentas global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN