MHIT asas dijangka stabilkan premium industri insurans, takaful

MHIT asas dijangka stabilkan premium industri insurans, takaful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas berpotensi memperkukuh kestabilan premium industri itu dalam jangka panjang menerusi peluasan kumpulan risiko merentasi semua pengendali insurans dan takaful (ITOS).

CIMB Securities berkata, produk MHIT dijangka menyasarkan individu yang masih belum mempunyai perlindungan insurans atau takaful dengan kadar penembusan insurans perubatan di Malaysia ketika ini dianggarkan sekitar 22 peratus.

“Ia turut menyasarkan individu yang mencari alternatif lebih mampu milik berbanding pelan MHIT sedia ada susulan peningkatan premium yang ketara dari semasa ke semasa, khususnya pada usia lebih lanjut dengan umur maksimum penyertaan ialah 70 tahun. 

“Penyertaan adalah secara sukarela, di mana pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memilih untuk membayar premium menggunakan Akaun 2 KWSP mereka.

“Had polisi tahunan juga akan ditentukan bagi meliputi prosedur berfrekuensi tinggi dan kemasukan kompleks yang lazim di hospital swasta, manakala rawatan kompleks dan berkos tinggi melebihi had polisi akan terus diuruskan dalam sistem penjagaan kesihatan awam. 

“Ini memandangkan pelan asas MHIT bersifat pelengkap, dan bukannya pengganti kepada sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pelan asas MHIT dijangka dilaksanakan secara perintis pada separuh kedua 2026 sebelum diperkenalkan ke pasaran pada awal 2027. 

Ia akan berfungsi sebagai platform piawai bagi memudahkan peralihan berperingkat daripada model bayaran berdasarkan perkhidmatan (FFS) kepada sistem pembayaran berasaskan Kumpulan Diagnosis Berkaitan (DRG).

CIMB Securities berkata, perbandingan awal antara produk asas MHIT dan pelan insurans perubatan swasta peringkat tertinggi menunjukkan perbezaan ketara dari segi harga dan manfaat merentasi ciri utama seperti premium bulanan, had tahunan dan struktur potongan.

“Pertama, premium bulanan MHIT bagi individu berumur 31 hingga 35 tahun adalah 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding pelan insurans perubatan swasta teratas, mencerminkan tumpuan kepada kemampuan berbanding liputan menyeluruh.

“Kedua, julat atas had tahunan MHIT mewakili diskaun kira-kira 80 peratus berbanding julat bawah had tahunan yang ditawarkan penangggung insurans swasta, menunjukkan ia direka untuk menampung prosedur lazim dan kemasukan kompleks biasa, bukan kes berintensiti tinggi.

“Seterusnya, potongan lawatan ke hospital panel MHIT secara umumnya setara dengan pelan insurans perubatan swasta, berpotensi mengurangkan tuntutan tidak perlu dan menggalakkan penggunaan kad perubatan secara lebih bertanggungjawab,” jelasnya.

Firma itu berkata, bagaimanapun, pelaksanaan kekal sebagai faktor utama, memandangkan ketiadaan sokongan kewangan langsung kerajaan bagi langganan MHIT.

“Ia turut terjadinya kemungkinan penolakan berikutan struktur bayaran bersama/potongan (co-payment/deductible) yang diperlukan, sekali gus menghalang golongan B40 daripada melanggan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN