PETALING JAYA: Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas berpotensi mengurangkan risiko beban kewangan akibat kos perubatan yang tidak dijangka, sekali gus membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan perlindungan asas.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, inisiatif itu adalah langkah positif dan tepat pada masanya, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sebelum ini terpinggir daripada perlindungan insurans perubatan.
Menurutnya, kenaikan kos rawatan swasta dan premium insurans yang agresif menjadikan perlindungan kesihatan sesuatu yang “mewah” bagi ramai isi rumah B40.
“Pelan asas MHIT menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mengisi jurang perlindungan kesihatan, selari dengan matlamat keadilan sosial dan akses kesihatan sejagat, tanpa menafikan peranan sektor swasta.
“Jika direka dengan betul, pelan ini berpotensi besar membantu B40 mendapatkan perlindungan asas yang sebelum ini langsung tidak mampu mereka capai. Premium lebih rendah, manfaat teras yang jelas, serta proses penyertaan yang mudah akan menjadi faktor utama kejayaannya.
“Walaupun ia mungkin terhad daripada pelan komersial penuh, MHIT tetap memberi perlindungan kritikal bagi rawatan pesakit dalam dan kecemasan serta membantu isi rumah B40 elak beban kos perubatan tidak dijangka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menerusi MHIT asas, anggaran premium bagi individu berumur antara 31 hingga 35 tahun adalah sekitar RM80 hingga RM120 sebulan, manakala bagi kumpulan umur 61 hingga 65 tahun, premium dianggarkan antara RM250 hingga RM280 sebulan.
Perlindungan ditawarkan sehingga umur 85 tahun, dengan polisi boleh dibeli sehingga umur 70 tahun.
Had perlindungan tahunan bagi individu bawah 60 tahun ditetapkan sehingga RM100,000, manakala had lebih tinggi disediakan untuk golongan berusia 60 tahun ke atas
Abu Sofian berkata, pelan itu akan berfungsi sebagai batu loncatan kepada ekosistem insurans kesihatan yang lebih inklusif.
“Dalam jangka pendek, ia boleh meningkatkan kadar penembusan insurans perubatan nasional.
“Bagi jangka sederhana dan panjang, pelan ini berpotensi mengurangkan tekanan hospital awam, meningkatkan literasi kewangan serta kesedaran insurans, selain menjadi asas kepada reformasi pembiayaan kesihatan negara.
“Semestinya ia dapat dicapai sekiranya pelaksanaannya konsisten dan berterusan, namun kejayaannya sangat bergantung kepada tahap keyakinan rakyat, kejelasan manfaat dan kesinambungan dasar,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran utama terletak pada imbangan antara kemampuan premium dan kelestarian kewangan.
“Jika premium terlalu rendah, risiko ketidakmampanan meningkat, manakala jika terlalu tinggi, matlamat kebolehcapaian gagal dicapai.
“Selain itu, cabaran lain termasuk penentuan manfaat minimum yang benar-benar relevan, penyelarasan antara kerajaan, pengendali insurans/takaful dan hospital swasta, risiko pemilihan songsang serta tahap kesedaran dan kepercayaan rakyat terhadap pelan baharu ini.
“Tanpa tadbir urus yang telus dan pemantauan rapi, pelan ini berisiko menjadi baik di atas kertas tetapi lemah dari segi pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN










