PETALING JAYA: Industri teknologi kewangan (fintech) berasaskan logam berharga di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mesin pengeluaran automatik (ATM) emas yang beroperasi di seluruh negara kini menghampiri 150 unit, dengan sasaran 200 unit menjelang akhir tahun ini.
Presiden Pertubuhan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng berkata, setakat ini mesin ATM emas tersebut telah ditempatkan di seluruh Semenanjung Malaysia, selain beberapa unit di Sabah dan Sarawak yang akan ditambah secara berperingkat.
“Buat masa ini, liputan di Sabah dan Sarawak masih rendah.
“Oleh itu, 50 unit seterusnya akan ditempatkan di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Majlis Pengiktirafan Triple Diamond Public Gold baru-baru ini.
Selain pasaran tempatan, Public Gold ATM emas Malaysia turut mendapat sambutan di luar negara dengan lima unit telah beroperasi di Dubai dan enam unit di Indonesia, selain menerima banyak pertanyaan daripada pelabur di Eropah dan Hong Kong.
Beliau yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Public Gold itu berkata, penerimaan masyarakat terhadap Public Gold ATM emas semakin meningkat selari dengan tahap keyakinan pengguna terhadap teknologi mesin layan diri, sama seperti penggunaan ATM wang tunai pada peringkat awal dahulu.
“Prestasi jualan setiap mesin menunjukkan peningkatan bulanan yang konsisten, menandakan tahap kepercayaan pengguna semakin kukuh,” katanya.
Sebagai jenama berteraskan inovasi, Public Gold mencipta sejarah dengan memperkenalkan mesin ATM Emas berasaskan fintech pertama di dunia yang telah beroperasi di seluruh Malaysia sejak 2023.
Public Gold memperkenalkan ATM Emas fintech di Persidangan Logam Berharga Dubai (DPMC) 2025 menerusi kerjasama strategik bersama Emirates Gold, sekali gus membuka era baharu kebolehcapaian emas serta meletakkan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu sebagai hab baharu inovasi fintech berpengaruh di peringkat antarabangsa.
Dalam majlis sama, Mohd. Zulkifli Shafie dan pasangannya, Najdah Mohammed Hussain, dianugerahkan dengan gelaran berprestij ‘Million Star Triple Diamond’.
Kedua-dua penerima pertama Kepimpinan Triple Diamond dalam sejarah, pencapaian mereka membuktikan bahawa kejayaan bukan sahaja diukur melalui angka, juga tentang memberi impak, melahirkan pemimpin dan membina legasi yang kekal untuk memberi inspirasi kepada ramai pengusaha usahawan Public Gold.
Bagi menghargal pencapaian luar biasa ini, pasangan berkenaan menerima ganjaran keseluruhan bernilai RM2.09 juta, termasuk Bonus Million Star, Bonus Diamond, Dana Rumah Banglo, Dana Kereta Mewah, Dana Keahlian Kelab, dan Bonus Kepimpinan, menandakan satu detik penting dalam kecemerlangan kepimpinan Public Gold. – UTUSAN











