SUBANG JAYA: MBSB Bank melancarkan edisi kelima kempen simpanan utamanya, Simpan Berganda Menang Bergaya (SBMB 5.0) bagi menggalakkan disiplin kewangan serta menghargai amalan menabung secara konsisten dalam kalangan rakyat di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Rafe Haneef berkata, kempen ini bertujuan menjadikan amalan menabung secara berdisiplin sesuatu yang mudah dicapai dan menarik untuk semua lapisan masyarakat.
Katanya, kempen ini direka secara inklusif bagi membolehkan pelanggan membina simpanan sambil berpeluang menikmati ganjaran daripada jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM2 juta.
“Melalui SBMB 5.0, kami memudahkan amalan menabung dengan menetapkan syarat kemasukan serendah RM2,000 supaya ia dapat diakses oleh semua.
“Matlamat kami adalah untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia membina perlindungan kewangan mereka, sambil menikmati amalan tersebut,” katanya ketika Majlis Pelancaran ‘Simpan Berganda Menang Bergaya 5.0’ dan pemenang untuk siri 4.0 di sini hari ini.
Penyertaan dibuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada dengan deposit minimum sebanyak RM2,000.
Menerusi penempatan dana baharu atau penambahan simpanan ke dalam akaun yang ditetapkan, pelanggan layak dipertimbangkan untuk pelbagai kategori ganjaran.
Antara hadiah lumayan yang menanti para peserta bertuah termasuk Hadiah Utama Kebangsaan berupa tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium iaitu Jetour T2, GWM Tank 300 dan GWM Tank 500.
Bagi kategori Hadiah Utama Wilayah, pemenang bakal membawa pulang Suzuki Jimny lima pintu lengkap dengan rak bumbung selain Ganjaran Voyager yang menawarkan 11 pakej percutian ke Maldives untuk dua orang.
Selain itu, menerusi Ganjaran Awal, peserta berpeluang memenangi jam tangan mewah buatan Switzerland bernilai sehingga RM35,000 setiap satu.
Peserta juga berpeluang memenangi emas yang menjadi instrumen yang sesuai untuk memupuk tabiat simpanan kecil dalam kalangan masyarakat.
MBSB Bank juga sedang membangunkan platform baharu yang akan diperkenalkan dalam aplikasi dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang sekali gus membolehkan pelanggan melabur emas dengan lebih mudah.
Sementara itu, Ketua Liabiliti dan Proposisi, Perbankan Pengguna Kumpulan, Soo Bee Teong berkata, edisi SBMB kali ini merupakan tanda penghargaan bank itu kepada pelanggan setia, selain membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang lain untuk membawa pulang hadiah yang menarik.
“Tahun ini, kami menyediakan jumlah keseluruhan hadiah yang menarik, daripada jam tangan mewah hingga ke SUV, kerana kami percaya penabung yang konsisten wajar diraikan.
“Bagi mereka yang belum mempunyai akaun dengan kami, inilah masa yang sesuai untuk menyertai keluarga MBSB, memulakan perjalanan simpanan anda dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa ini,” katanya.
Sejak diperkenalkan, siri SBMB telah menunjukkan pertumbuhan yang berterusan, mencerminkan minat yang jelas terhadap program simpanan yang menawarkan keselamatan serta ganjaran yang nyata.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.mbsbbank.com atau mengunjungi mana-mana cawangan MBSB Bank di seluruh negara.
Dalam majlis yang sama turut menampilkan kemuncak SBMB 4.0, yang menyaksikan hadiah utama sebuah kereta mewah BYD Sealion 7 serta Proton e.MAS 7 diserahkan kepada para pemenang. – UTUSAN










