Malaysia dipilih hab pertama siri inisiatif strategik AGIBOT 

Malaysia dipilih hab pertama siri inisiatif strategik AGIBOT 

CHANG Lih Kang (empat kiri) merasmikan AGIBOT Ai World Experience Centre di i-City Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: AGIBOT, syarikat robotik terkemuka yang mengkhusus dalam pembangunan kecerdasan terwujud, memilih Malaysia sebagai lokasi permulaan bagi siri inisiatif strategik di seluruh rantau Asia Pasifik bermula tahun ini melalui pembukaan Pusat Pengalaman Dunia AI (AIWEC). 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pemilihan Malaysia sebagai lokasi pelancaran antarabangsa pertama di luar China bagi pusat pengalaman kecerdasan buatan (AI) dan robotik bertaraf dunia itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap ekosistem inovasi, bakat  dan hala tuju dasar negara.

“Ia meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk pendidikan AI, penglibatan awam dan kerjasama dan saya berharap ia mendorong lebih banyak pemain global untuk melihat Malaysia sebagai pintu masuk yang dipercayai ke ekonomi digital Asia Tenggara.

“MOSTI melihat AIWEC sebagai model kerjasama awam-swasta yang berkesan, menunjukkan bagaimana kepimpinan industri boleh selaras dengan keutamaan negara untuk memacu penggunaan bertanggungjawab dan impak sebenar. 

“Kami percaya pusat seperti ini boleh ditiru di seluruh negara, bekerjasama dengan kerajaan negeri, universiti, sekolah dan pemain industri, supaya literasi dan peluang AI tidak tertumpu hanya di bandar utama, tetapi sampai ke komuniti di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jenama AGIBOT dan Pembukaan Rasmi AIWEC di I-City, Shah Alam. 

Lih Kang berkata, AIWEC bukan sekadar pameran teknologi canggih, namun merupakan ruang yang direka untuk membina kefahaman, kepercayaan dan keyakinan. 

“Ia menjadikan AI lebih mudah diakses dan difahami. 

“Melalui pameran interaktif, demonstrasi robotik, zon pengaturcaraan untuk kanak-kanak dan modul pembelajaran AI secara praktikal, AIWEC mengubah teknologi kompleks menjadi sesuatu yang boleh dialami, diterokai dan ditanya oleh orang ramai,” jelasnya. 

Sementara itu, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AGIBOT, Deng Taihua berkata, pelancaran di Malaysia merupakan contoh komitmen syarikat untuk membawa pengeluaran besar-besaran dan penggunaan praktikal robotik terwujud kepada pelanggan di rantau ini.

Menurutnya, AGIBOT telah mencapai kemajuan yang ketara untuk meningkatkan pengeluaran besar-besaran dan penggunaan praktikal robotik berwujud tahun lalu. 

“Ini diakhiri pada akhir tahun lalu apabila kami melancarkan robot humanoid ke 5,000 yang dihasilkan secara besar-besaran. 

“Pencapaian penting ini, bersama-sama dengan yang lain meletakkan AGIBOT dalam kedudukan yang kukuh ketika kami memulakan 2026,” ujarnya. 

Acara berkenaan turut menandakan komitmen jangka panjang AGIBOT untuk memperkukuh kerjasama strategik, memindahkan teknologi dan menyokong pembangunan penyelesaian automasi berasaskan robotik di Malaysia dan rantau Asia-Pasifik.

Inisiatif tersebut dijangka membuka peluang baharu dalam sektor pembuatan, logistik dan perkhidmatan pintar, sejajar dengan aspirasi negara untuk mempercepat transformasi ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

AGIBOT sebelum ini dikenali sebagai peneraju dalam pembangunan sistem robotik bersepadu yang menggabungkan kecerdasan buatan dan automasi fizikal bagi meningkatkan kecekapan operasi industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN