KUALA LUMPUR: Kia Sales Malaysia (KSM) melancarkan Kia Carnival Baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM188,888 bagi varian 11 tempat duduk, manakala varian tujuh tempat duduk pula dijual pada harga bermula RM248,888.
Model kenderaan serba guna (MPV) bersaiz besar itu merupakan kenderaan pertama diperkenalkan oleh KSM sejak penubuhannya sebagai Syarikat Jualan Negara (NSC) bagi jenama Kia di Malaysia, sekali gus menandakan lembaran baharu kehadiran Kia dalam pasaran tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim berkata, pelancaran Kia Carnival Baharu melangkaui pengenalan produk semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang Kia terhadap pasaran Malaysia.
Menurutnya, strategi syarikat tertumpu kepada penawaran kenderaan yang paling sesuai dengan keperluan pelanggan tempatan, dengan menggabungkan kualiti, ciri relevan serta nilai pemilikan jangka panjang.
“Kia Carnival Baharu jelas melambangkan falsafah ini dan merupakan mercu jaya penting dalam usaha kami untuk terus mengukuhkan kedudukan Kia di Malaysia,” katanya semasa majlis pelancaran model berkenaan di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KSM, Emily Lek berkata, pelancaran Kia Carnival Baharu menjadi langkah awal untuk memperkenalkan semula jenama Kia kepada pengguna tempatan.
Ujarnya, persoalan ‘Kenapa Pilih Kia?’ bakal membuka era baharu jenama itu di Malaysia, dengan penekanan terhadap reka bentuk teliti serta inovasi yang berteraskan inspirasi dalam setiap perjalanan.
“Inilah Kia serba baharu yang menampilkan reka bentuk penuh pertimbangan serta inovasi tertumpu kepada pengalaman pengguna,” katanya.
Dari segi reka bentuk, Kia Carnival Baharu mengangkat falsafah “Opposites United” dengan penampilan lebih gagah di bahagian hadapan serta rekaan dalaman yang anggun dan minimalis, dilengkapi skrin panorama melengkung bersaiz 12.3 inci untuk paparan instrumen dan infohiburan.
Aspek keselamatan turut menjadi keutamaan dengan penawaran lapan beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemandu termaju seperti Bantuan Mengelak Perlanggaran Depan, Bantuan Pemanduan Lebuh Raya dan Bantuan Mengekalkan Lorong sebagai ciri standard.
Kia Carnival Baharu ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran iaitu Kelabu Meteor, Putih Mutiara Salji, Biru Astra dan Hitam Pekat, serta didatangkan dengan waranti lima tahun atau 150,000 kilometer, yang mana lebih dahulu. – UTUSAN










