Keuntungan pendapatan Bursa Malaysia pada 2025 diunjur lebih rendah - Utusan Malaysia

Keuntungan pendapatan Bursa Malaysia pada 2025 diunjur lebih rendah

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Bhd. dijangka mencatatkan pendapatan lebih rendah bagi 2025 walaupun operator bursa itu memulakan 2026 dengan prestasi yang baik, menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan bersih bagi suku keempat dijangka berada dalam lingkungan RM63 juta hingga RM69 juta bagi suku terakhir 2025, berikutan purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih tinggi.

“Bursa Malaysia biasanya akan mengumumkan keputusan suku keempat sebelum penghujung Januari.

“Kami berpandangan peningkatan ini didorong oleh keyakinan pelabur yang lebih baik” susulan data ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan, kejelasan mengenai tarif perdagangan, dan pengukuhan ringgit yang menyokong sektor berorientasikan domestik, katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Kenanga Research, bagi keseluruhan tahun, pendapatan bursa dijangka merosot 18 peratus kepada RM254 juta pada 2025.

Sementara itu, konsensus pasaran menjangkakan syarikat itu akan melaporkan keuntungan bersih RM282.3 juta bagi 2025.

Kenanga Investment Bank mengekalkan saranan “market perform” untuk Bursa Malaysia dan harga sasaran RM8.00, berbanding harga terakhir RM8.60.

Penilaian ini dianggap wajar kerana mencerminkan purata nilai dagangan harian Bursa dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Data dagangan awal bagi 2026 menunjukkan prestasi yang serupa dengan hari-hari pertama 2025.

Kenanga Research berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah naik melepasi 1,700 mata buat pertama kali dalam lebih tujuh tahun, didorong oleh minat meningkat terhadap saham perbankan sebagai aset perlindungan di tengah-tengah penurunan kadar faedah serantau, serta keterlihatan pendapatan yang lebih jelas bagi syarikat proksi pusat data dan sektor yang mendapat manfaat.

“Purata nilai dagangan harian dijangka meningkat kepada RM2.85 bilion pada 2026, meningkat 12 peratus tahun ke tahun berikutan kecairan yang lebih tinggi daripada aliran pelaburan ke pasaran sedang pesat membangun, disokong oleh keyakinan yang lebih baik terhadap sektor domestik susulan pengukuhan ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN