Kerangka Insentif Baharu bermula 1 Mac ini

Kerangka Insentif Baharu bermula 1 Mac ini untuk perkasa pelaburan

MENARA MITI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan Kerangka Insentif Baharu (NIF) bermula 1 Mac 2026, bagi sektor perkilangan diikuti oleh sektor perkhidmatan pada suku kedua tahun 2026, Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pelaksanaan kerangka baharu ini menandakan satu anjakan dasar strategik yang signifikan dalam landskap insentif pelaburan negara bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing, mampan serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global. 

Katanya, NIF juga bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pengaitan pemberian insentif dengan pencapaian hasil yang spesifik sejajar dengan keutamaan strategik negara. 

“NIF mengguna pakai pendekatan berperingkat dan berasaskan hasil yang selari dengan aspirasi dasar ekonomi dan perindustrian negara. Pelaksanaan kerangka ini berpandukan dua strategi nasional utama, iaitu Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. 

“Selaras dengan pelaksanaan NIF, kerajaan tidak tidak lagi menerima permohonan baharu bagi insentif untuk sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986),” katanya dalam kenyataan.

MITI berkata, tarikh akhir untuk mengemukakan permohonan insentif di bawah PIA 1986 bagi sektor perkilangan adalah pada 28 Februari 2026 pada pukul 3 petang. 

Walau bagaimanapun, kementerian berkata, syarikat yang telah diluluskan dan sedang menikmati insentif di bawah PIA 1986 tidak akan terjejas dan kelulusan sedia ada akan terus berkuat kuasa mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan. 

Jelasnya, bagi memastikan objektif NIF dicapai secara berkesan, Kad Skor NIA akan digunakan sebagai mekanisme penilaian yang komprehensif untuk mengukur dan mengkuantifikasikan impak serta hasil pelaburan berdasarkan keutamaan nasional yang telah ditetapkan. 

“Di bawah NIF, kerajaan menawarkan dua jenis insentif cukai utama yang bersifat saling eksklusif dan pemohon perlu memilih salah satu bagi projek yang layak.

“Insentif tersebut adalah Kadar Cukai Khas Istimewa (STR) bagi tempoh yang ditetapkan dan Elaun Cukai Pelaburan ( ITA) iaitu insentif berasaskan perbelanjaan modal berdasarkan peratusan perbelanjaan Modal Yang Layak (QCE) yang boleh digunakan untuk ditolak daripada pendapatan berkanun,” ujarnya.

Tambahnya, pemberian insentif di bawah NIF akan ditentukan berdasarkan komitmen syarikat serta penilaian melalui Kad Skor NIA, yang mengambil kira sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi serta aspek kemampanan. 

“Syarikat boleh memohon insentif berdasarkan kategori yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan kriteria sebagaimana yang diperincikan dalam Garis Panduan Pelaksanaan NIF bagi Sektor Perkilangan. 

“Garis Panduan Pelaksanaan NIF tersebut memperincikan kriteria kelayakan, parameter penilaian di bawah Kad Skor NIA, kategori insentif, serta proses permohonan dan penilaian,” jelasnya.

MITI berkata, maklumat lanjut berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan NIF ini boleh dilayari melalui portal rasmi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di https://www.miti.gov.my/NIF dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN