PETALING JAYA: Kelewatan pengeluaran Sijil Amalan Tahunan (APC) bagi tahun kewangan 2026 oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mencetuskan kebimbangan dalam sektor penjagaan kesihatan, dengan implikasi operasi dan perundangan yang ketara terhadap hospital swasta, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, isu tersebut menyebabkan lebih 14,000 doktor dilaporkan memulakan tahun ini tanpa APC yang sah, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan operasi kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.
“MMC memaklumkan kelewatan itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah permohonan serta kelewatan dokumen sokongan, dengan lebih 74,000 APC telah dikeluarkan pada tahun kewangan 2024 bagi kegunaan tahun kewangan 2025.
“Setakat ini, kira-kira 10,000 permohonan APC tertunggak telah diproses, namun laporan turut mendedahkan sekitar 30 peratus ahli majlis MMC sendiri tidak mempunyai APC terkini ketika isu ini memuncak,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu menegaskan, kelewatan APC membawa risiko besar kepada hospital dan pengamal perubatan, memandangkan Akta Perubatan 1971 menetapkan bahawa amalan tanpa APC yang sah merupakan satu kesalahan tanpa mengambil kira niat.
“Antara implikasinya ialah doktor tidak dibenarkan mengenakan bayaran, perlindungan insurans liabiliti profesional boleh terbatal dan hospital boleh dipertanggungjawabkan terhadap sebarang kejadian perubatan.
“Bagi syarikat tersenarai, penganalisis mengekalkan saranan neutral terhadap IHH Healthcare Bhd. dengan harga sasaran (TP) RM8.25, berbanding harga pasaran RM8.54 pada 8 Januari 2026. Kekuatan IHH disokong oleh kepelbagaian operasi serantau dan global, prestasi kewangan yang kukuh serta pertumbuhan pelancongan perubatan menerusi jenama premium,” katanya.
Firma turut mengekalkan penarafan neutral terhadap KPJ Healthcare Bhd. dengan TP RM2.76, berbanding harga RM2.68.
Syarikat itu terus disokong oleh pertumbuhan kewangan yang konsisten, pengembangan kapasiti hospital, pelaburan teknologi perubatan serta rangkaian hospital terbesar di Malaysia.
Susulan tekanan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), MMC telah mengeluarkan pelepasan sementara yang membenarkan doktor yang telah mengemukakan permohonan lengkap dan membuat bayaran sebelum 31 Disember 2025 meneruskan amalan tanpa penalti.
Semua permohonan APC tahun kewangan 2026 disasarkan untuk diselesaikan sepenuhnya sebelum 31 Januari 2026.
Namun MBSB Research mengingatkan,pelepasan sementara ini tidak menghapuskan sepenuhnya risiko perundangan, khususnya dalam kes tuntutan insurans dan saman malpraktis, memandangkan sijil APC kekal sebagai bukti utama kelayakan sah di sisi undang-undang.
“Secara keseluruhan, walaupun asas sektor kesihatan swasta kekal kukuh, ketidaktentuan berkaitan isu APC dijangka terus menjadi faktor risiko jangka pendek terhadap operasi dan sentimen pelabur dalam sektor berkenaan,” katanya. – UTUSAN










