PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka sederhana kepada 3.8 peratus tahun ini, lebih rendah berbanding julat sasaran Kementerian Kewangan iaitu 4.0 hingga 4.5 peratus.
Ahli Ekonomi Kanan ASEAN, Lavanya Venkateswaran berkata, penyederhanaan ini dijangka berpunca daripada pertumbuhan eksport yang lebih perlahan serta pelaburan yang sederhana, khususnya selepas kesan eksport muatan hadapan ke Amerika Syarikat (AS) pada 2025 semakin pudar.
“Namun begitu, permintaan domestik kekal berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil, pertumbuhan sektor perkhidmatan, jualan kenderaan yang menggalakkan serta pasaran buruh yang kukuh.
“Kadar pengangguran pada 2.9 peratus pada November 2025 merupakan paras terendah sejak 2014,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut beliau, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada kelembapan pertumbuhan rakan dagang utama termasuk China, Jepun, Zon Euro dan ASEAN.
“Eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka kekal berdaya tahan selari dengan unjuran global semikonduktor yang positif, meskipun bersifat tidak menentu,” katanya.
Dalam masa yang sama, import barangan modal yang memuncak pada awal 2025 dijangka sederhana, memberi kesan limpahan kepada perbelanjaan pelaburan.
“Pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar (GFCF) dijangka kekal positif tetapi lebih sederhana pada 2026,” katanya.
Lavanya berkata, Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan tekanan kos yang meningkat, termasuk pelaksanaan penuh e-Invois, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori bagi pekerja asing, levi berperingkat pekerja asing serta kenaikan kos utiliti dan cukai jualan dan perkhidmatan.
“Tinjauan PKS menunjukkan majoriti merancang menaikkan harga, walaupun kebanyakan masih menjangkakan hasil yang stabil,” katanya.
Malah, jelasnya, dinamik tenaga buruh dijangka kekal positif, seiring dengan sumbangan produktiviti faktor keseluruhan (TFP) seperti yang berlaku sejak beberapa dekad lalu.
“Sekiranya pertumbuhan pembentukan modal meningkat kepada sekitar lima peratus sepanjang tempoh unjuran dan sumbangan TFP terus bertambah hasil pendigitalan, manfaat kecerdasan buatan (AI) serta pembaharuan dasar yang berterusan, potensi pertumbuhan ekonomi diunjur boleh meningkat kepada sekitar lima peratus dalam jangka sederhana,” katanya.
Katanya, walaupun kelembapan kitaran dijangka pada 2026, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur kembali ke julat 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2027 hingga 2028.
“Ini disokong oleh pelaksanaan berterusan pembaharuan struktur di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selain itu, kelulusan pelaburan kekal kukuh, mencecah RM285.2 bilion bagi tempoh tiga suku pertama 2025, manakala projek infrastruktur berskala besar dan penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka menyokong pertumbuhan jangka sederhana,” ujarnya.
Mengulas lanjut, dasar fiskal dijangka kekal bersasar pada 2026, memberi ruang kepada dasar monetari yang lebih akomodatif.
“Seiring itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mempunyai ruang untuk penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama 2026, bagi menyokong momentum pertumbuhan,” katanya. – UTUSAN










