Jualan runcit lepasi jangkaan pada suku ketiga

Jualan runcit lepasi jangkaan pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan runcit Malaysia mencatat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan pada suku ketiga 2025 apabila meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun, didorong perbelanjaan berterusan ke atas barangan keperluan harian serta sokongan berterusan daripada dasar kerajaan.

CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, prestasi tersebut melebihi unjuran awal Retail Group Malaysia (RGM) yang menganggarkan pertumbuhan sekitar 2.6 peratus, sekali gus mendorong semakan naik unjuran jualan runcit bagi keseluruhan tahun 2025 kepada 3.6 peratus berbanding 2.7 peratus sebelum ini.

“Prestasi jualan runcit yang lebih kukuh ini disokong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil terhadap barangan asas, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, harga bahan api yang lebih rendah serta peluasan bantuan kerajaan menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Selain itu, pengenalan bantuan tambahan SARA secara menyeluruh pada akhir Ogos 2025 turut memberi rangsangan kepada perbelanjaan pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut CIMB Securities, format runcit berorientasikan nilai terus mengatasi prestasi subsektor lain, dengan pasar mini, kedai serbaneka dan koperasi mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 18.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025.

“Pertumbuhan ini mencerminkan kecenderungan pengguna untuk berbelanja secara lebih berhemah, khususnya terhadap barangan keperluan pada harga mampu milik,” katanya.

Dalam tempoh sama, pasar raya dan pasar raya besar kembali mencatat pertumbuhan positif, manakala segmen fesyen dan aksesori fesyen menunjukkan pemulihan ketara, disokong faktor asas rendah susulan perubahan musim perayaan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, prestasi segmen budi bicara kekal lemah, dengan gedung serbaneka, produk penjagaan diri serta perabot dan kelengkapan rumah mencatat penyusutan jualan berikutan pengguna terus berhati-hati terhadap perbelanjaan besar.

CIMB Securities berkata, jualan runcit pada suku keempat 2025 dijangka berkembang sekitar lima peratus tahun ke tahun, disokong musim perayaan hujung tahun, cuti sekolah serta perbelanjaan berkaitan aktiviti pelancongan domestik.

“Walaupun terdapat sokongan bermusim, pertumbuhan dijangka kekal tidak sekata antara subsektor, dengan peruncit berasaskan barangan keperluan dan format nilai dijangka terus mendahului,” katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangkakan sektor runcit berdepan tekanan kos pada 2026 susulan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), peningkatan kos buruh serta pelaksanaan e-invois secara berperingkat, khususnya melibatkan peruncit berskala kecil dan pemain yang beroperasi di pusat beli-belah.

Namun, perbelanjaan pengguna dijangka terus disokong oleh peruntukan bantuan tunai kerajaan, kenaikan gaji penjawat awam serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berpotensi meningkatkan perbelanjaan pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya, secara keseluruhan, sektor runcit negara dijangka kekal stabil dengan pertumbuhan sederhana, dipacu perbelanjaan barangan asas dan sokongan dasar meskipun berdepan cabaran kos operasi yang meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN