PETALING JAYA: Hartanah Kenyalang Berhad (Hartanah Kenyalang) menerima kontrak bernilai RM275.3 juta bagi mereka bentuk dan membina sebuah penjara baharu, Penjara Sibu di Sibu, Sarawak.
Kontrak itu diraih melalui anak syarikat milik penuhnya, Hartanah Construction Sdn. Bhd. yang menerima surat penganugerahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Tempoh kontrak bagi projek reka dan bina Penjara Sibu baharu itu adalah selama 36 bulan bermula 9 Februari 2026 dan disasarkan untuk diserahkan kepada JKR pada 8 Februari 2029.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Hartanah Kenyalang, Seah Boon Tiat berkata, penjara Sibu itu akan dilengkapi kemudahan serta peralatan moden yang bukan sahaja mampu menambah baik keadaan tempat tinggal dan kebajikan banduan, malah persekitaran kerja pegawai penjara di Sibu.
“Kami berterima kasih kepada JKR atas peluang menyertai pembinaan Penjara Sibu bagi membantu Kementerian Dalam Negeri menangani isu kesesakan di penjara sedia ada.
“Penganugerahan ini merupakan kontrak terbesar yang pernah diperoleh syarikat sepanjang 12 tahun sejarah operasi kami dalam industri pembinaan di Sarawak.
“Kontrak ini juga menandakan satu pencapaian penting bagi pasukan reka dan bina kami kerana sekali lagi membuktikan keupayaan untuk berkembang secara mendatar dalam pembinaan pelbagai jenis bangunan.
“Ia daripada rumah kedai komersial dan sekolah usang kepada bangunan institusi seperti Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan, Stadium Sarawak, bangunan Arkib Negeri serta Penjara Sibu,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan itu sentiasa komited untuk terus berinovasi dan meneroka kaedah pembinaan baharu bagi memperluas keupayaan perkhidmatan reka dan bina.
Ini sekali gus menarik lebih banyak pelanggan dalam industri pembinaan yang kompetitif, disokong penggunaan aplikasi Building Information Modelling (BIM).
Untuk rekod, peruntukan pembangunan dan pengurusan penjara Malaysia telah diperincikan dalam bajet tahunan negara yang kebanyakannya diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bajet-bajet terkini memberi tumpuan kepada pembinaan baharu, naik taraf fasiliti serta program pemulihan bagi menangani isu kesesakan penjara di Malaysia.
Antara peruntukan khusus yang dinyatakan dalam Belanjawan Malaysia 2026 ialah pembinaan penjara baharu di Sibu, Sarawak.
Justeru itu, Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan pembinaan Penjara Sibu baharu itu dengan anggaran kos keseluruhan RM300 juta.
Kemudahan moden itu, yang mampu menempatkan sehingga 1,000 banduan setelah siap kelak, akan menggantikan penjara lama yang dibina pada tahun 1918 dan kini hanya mempunyai kapasiti sekitar 450 banduan selain berdepan masalah kesesakan.
Boon Tiat berkata, syarikat itu sebelum ini berjaya memperoleh kontrak bernilai RM42.8 juta bagi membina pos imigresen dan kuarters di Serikin, Bau, Sarawak serta kontrak RM184.3 juta bagi kerja pembaikan dan naik taraf Stadium Sarawak.
“Dengan penganugerahan kontrak RM275.3 juta bagi pembinaan Penjara Sibu hari ini, jumlah buku pesanan belum ditagih syarikat telah meningkat daripada kira-kira RM142.5 juta setakat 31 Mac 2025 kepada RM567.7 juta setakat 30 Januari 2026.
“Peningkatan ketara ini mencerminkan usaha berterusan pihak pengurusan dalam membida pelbagai projek bangunan institusi daripada agensi kerajaan yang berbeza.
“Nilai buku pesanan belum ditagih sebanyak RM567.7 juta ini juga merupakan yang tertinggi dalam sejarah operasi Hartanah Kenyalang,” katanya. – UTUSAN









