Harga sawit dijangka antara RM4,000 dan RM4,300 per tan

Harga sawit dijangka antara RM4,000 dan RM4,300 per tan

MENTERI Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad (dua kiri) bersama Ahmad Parveez ( kanan) dan Pengerusi Lembaga Minyak Malaysia, Datuk Mohamad Helmy Othman (kiri) ketika gimik pada majlis perasmian Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar (R&O) 2026 di Berjaya Times Square Hotel di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah dijangka kekal tinggi tahun ini untuk berada pada paras sekitar RM4,000 hingga RM4,300 setan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga minyak sawit bakal disokong oleh polisi biodiesel di Indonesia yang menyerap jumlah minyak sawit yang banyak, manakala stok minyak sayuran global yang ketat terus memberi tekanan kepada harga.

Katanya, harga minyak sawit memperlihatkan prestasi memberangsangkan tahun lalu dengan purata RM4,292.50 setan, peningkatan sebanyak 2.7 peratus daripada RM4,179.50 pada 2024.

“Dari segi pengeluaran, kami menjangkakan ia akan menyederhana kepada 19.5 hingga 19.8 juta tan tahun ini, dikekang usia pokok yang semakin meningkat, manakala kawasan penanaman kekal statik pada sekitar 5.7 juta hektar.

“Tahun 2025 sangat baik dari segi pengeluaran dengan penghasilan sebanyak 20.28 juta tan minyak sawit dan tanaman ini akan memasuki fasa ‘rehat’ selepas mengeluarkan hasil kukuh pada hujung tahun lalu,” katanya pada sesi pembentangan dalam Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2026 di sini.

Pada 2025, Malaysia merupakan pengeluar minyak dan lemak kelima terbesar di dunia, menghasilkan 8.4 peratus daripada pengeluaran minyak dan lemak global.

Malaysia juga merupakan pengeksport minyak dan lemak kedua terbesar di dunia setelah mengeksport 15.3 juta tan minyak sawit.

Hasil eksport minyak sawit Malaysia mencapai RM112.51 bilion, naik 2.9 peratus daripada RM109.39 bilion pada tahun 2024.

Ahmad Parveez menambah, eksport minyak sawit Malaysia dijangka berada pada paras 15.8 hingga 16 juta tan untuk tahun ini, dengan unjuran hasil sebanyak RM110 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN