Harga emas terus melonjak, berpotensi cecah RM714 segram - Utusan Malaysia

Harga emas terus melonjak, berpotensi cecah RM714 segram

Seorang pekerja memegang barang kemas di sebuah kedai emas di Banda Aceh, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas berpotensi mencecah AS$5,000 (RM20,256) seauns atau RM714 segram tidak lama lagi, dipacu oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), ketidakpastian dasar ekonomi negara itu serta peningkatan minat pelabur terhadap aset selamat.

Semalam, harga emas global mencapai paras tertinggi baharu apabila didagangkan pada AS$4,888.50 (RM19,804.20) seauns atau kira-kira RM698.57 segram.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan ini didorong oleh dasar ekonomi Presiden AS, Donald Trump, yang dilihat sukar diramal dan berpotensi memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.

“Ketidaktentuan dasar tersebut telah mendorong pelabur untuk beralih kepada aset selamat dengan emas menjadi pilihan utama sebagai pelindung nilai,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, selain emas, kenaikan harga turut dicatatkan oleh beberapa komoditi berharga lain seperti perak, platinum dan paladium. 

“Peningkatan serentak ini mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap ketidakstabilan pasaran kewangan global serta jangkaan berterusan terhadap kelemahan mata wang utama dunia.

“Trend ini dijangka berterusan selagi ketidaktentuan dasar ekonomi dan geopolitik global masih menjadi faktor utama yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya. 

Selepas mencatatkan kenaikan mendadak sebanyak 64 peratus tahun lalu dan tambahan lebih enam peratus hanya dalam dua minggu pertama tahun ini, emas kini bukan lagi sekadar instrumen lindung nilai defensif tradisional. 

Sebaliknya, ia muncul sebagai teras kepada kitaran baharu yang dipacu oleh risiko geopolitik, pelonggaran dasar monetari, pembelian agresif bank pusat serta penstrukturan semula peruntukan portfolio global.

Ketua Pegawai Pelaburan bagi Afrika, Timur Tengah dan Eropah bank, Manpreet Gill berkata, emas kekal sebagai pegangan teras berwajaran tinggi dalam peruntukan aset global bank berkenaan, mencerminkan permintaan yang kukuh dan meluas yang terus menyokong kenaikan harga emas untuk jangka masa panjang.

Menurut Gill, Standard Chartered meletakkan sasaran harga emas pada AS$4,350 seauns dalam tempoh tiga bulan dan AS$4,800 seauns dalam tempoh 12 bulan. 

Namun, beliau menegaskan bahawa paras tersebut hanyalah batu loncatan, bukannya kemuncak sebenar kenaikan harga emas.

Gill turut berpandangan, bank-bank pusat di pasaran baharu bakal memainkan peranan lebih besar dalam menyokong kenaikan emas, susulan langkah mempercepatkan kepelbagaian rizab antarabangsa mereka dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS.

Beliau berkata, struktur permintaan ini, digabungkan dengan penyusutan pulangan sebenar (real yields) serta persekitaran dolar AS yang lemah, mewujudkan landskap makroekonomi yang amat menyokong kenaikan harga emas.

Majlis Emas Dunia melaporkan harga emas mencatat rekod tertinggi sebanyak 53 kali sepanjang 2025, manakala aliran masuk ke dalam dana dagangan bursa (ETF) emas bersandarkan fizikal mencecah paras tertinggi iaitu AS$89 bilion.

ETF emas terbesar dunia, SPDR Gold Trust, turut meningkatkan pegangan kepada lebih 1,073 tan metrik menjelang akhir bulan lalu, paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN