PETALING JAYA: Harga emas mencapai RM604 segram, disokong oleh ketidaktentuan geopolitik global dan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) selepas pengumuman data inflasi.
Semalam, emas global mencapai tahap tertinggi baharu apabila didagangkan pada AS$4,645 seauns (RM18,804.75) bagi emas spot, manakala emas 916 dianggarkan pada RM553 segram.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, kenaikan harga emas global itu didorong oleh ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global yang masih berlarutan.
“Dalam keadaan pasaran kewangan tidak menentu, pelabur cenderung beralih kepada emas sebagai aset selamat dan pelindung nilai.
“Ini di samping jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mula melonggarkan dasar monetari melalui pemotongan kadar faedah turut menyokong kenaikan harga emas.
“Apabila kadar faedah menurun, kos peluang memegang emas menjadi lebih rendah, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap logam berharga itu.
“Pembelian emas secara berterusan oleh bank-bank pusat dunia juga menjadi faktor sokongan penting kepada kenaikan harga semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hujung tahun lalu, harga emas melonjak melepasi paras AS$4,500 seauns (RM590 segram ketika itu) buat kali pertama, manakala perak dan platinum turut mencatat paras tertinggi baharu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, harga emas 24 karat (999) diunjurkan berada dalam lingkungan RM600 hingga RM750 segram, manakala harga emas 22 karat (916) dijangka sekitar RM680 hingga RM820 segram dalam tempoh terdekat.
“Unjuran kenaikan harga emas ini di dorong oleh ketegangan geopolitik yang berlarutan, khususnya di Asia Barat dan Eropah, terus menyokong permintaan terhadap emas apabila pelabur beralih daripada aset berisiko kepada aset selamat.
“Sekiranya Fed AS bertindak melonggarkan dasar monetari susulan data ekonomi yang lemah, pulangan aset simpanan seperti bon dan deposit dijangka menurun, sekali gus meningkatkan daya tarikan emas sebagai aset lindung nilai,” ujarnya.
Beliau berkata, antara faktor lain ialah kelemahan dolar AS yang kebiasaannya mempunyai hubungan songsang dengan harga emas.
“Dolar yang lebih lemah menjadikan emas lebih murah kepada pembeli yang menggunakan mata wang lain, sekali gus merangsang permintaan global.
“Pada masa sama, pembelian berterusan oleh bank pusat dan institusi besar, terutama dari negara Asia, dilihat mengekalkan permintaan asas terhadap emas dan memberi sokongan kepada pergerakan harga logam berharga itu dalam jangka sederhana hingga panjang,” ujarnya. – UTUSAN










