PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menaikkan had pengeluaran haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan dasar dan produk bagi memperkukuh kesejahteraan serta perancangan kewangan ahli.
Menurut KWSP, langkah itu bertujuan membantu ahli yang telah menerima tawaran mengerjakan ibadah haji daripada Lembaga Tabung Haji untuk menampung kos kewangan semasa, selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
“Keperluan untuk mengesahkan baki simpanan dalam akaun Tabung Haji bagi menentukan kelayakan pengeluaran akan dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli merancang ibadah haji dengan lebih teratur,” katanya dalam kenyataan.
Dalam usaha memperkukuh simpanan persaraan golongan bekerja sendiri dan ekonomi gig, KWSP akan memperkenalkan i-Saraan Plus iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing.
Berlandaskan program i-Saraan sedia ada, i-Saraan Plus menawarkan insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup sebanyak RM6,000.
“Pemandu yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform yang mengambil bahagian, selain dibantu dalam pelaksanaan potongan caruman pada kadar yang ditetapkan sendiri.
“Selain itu, umur kelayakan bagi program i-Suri akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara. Insentif padanan kerajaan bagi i-Suri akan diteruskan pada 2026 pada kadar 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup,” katanya.
Tambahnya, Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, merangkumi tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan iaitu Simpanan Asas sebanyak RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.
“Seiring pelaksanaan rangka kerja itu, dasar pengeluaran melebihi RM1 juta akan diselaras bagi memberi fleksibiliti kepada ahli berumur di bawah 55 tahun dalam mengurus lebihan simpanan, selepas keperluan persaraan dipenuhi.
“Bagi memastikan peralihan yang teratur, had lebihan simpanan yang boleh dikeluarkan akan dinaikkan secara berperingkat dengan kenaikan RM100,000 setahun sepanjang tempoh tiga tahun, bermula dengan RM1.1 juta pada 2026,” tambahnya.
Dalam masa sama, KWSP akan menyelaras penentuan kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) selaras dengan tahap Simpanan Asas, dengan kuantum simpanan minimum dikemas kini secara berperingkat bagi memastikan lebihan simpanan yang digunakan untuk pelaburan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan.
“Pelarasan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja RIA yang diumumkan pada 2024 dan mencerminkan usaha mengimbangi akses fleksibel kepada simpanan dengan perlindungan jangka panjang, selaras dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Selain penambahbaikan dasar, KWSP turut memperkenalkan penjenamaan baharu bagi kemudahan caruman sukarela dengan i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun.
Kedua-dua kemudahan itu melengkapkan rangkaian caruman sukarela sedia ada termasuk i-Saraan, i-Sayang, i-Suri dan Penambahan Simpanan Akaun Persaraan, yang bertujuan mempercepat pertumbuhan simpanan persaraan serta memenuhi keperluan pelbagai segmen ahli. – UTUSAN










