PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) dibenarkan mengeksport minyak sawit serta produk berasaskan sawit ke Amerika Syarikat (AS) selepas Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu meminda Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) berkuat kuasa mulai 15 Januari 2026.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi CBP, agensi itu mengesahkan bahawa produk keluaran FGV, termasuk daripada anak syarikat dan usaha samanya, dibenarkan memasuki pasaran perdagangan AS tertakluk kepada pematuhan berterusan terhadap undang-undang dan peraturan AS yang berkuat kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniam Othman berkata, pindaan WRO itu merupakan pencapaian penting yang mencerminkan kemajuan ketara hasil pelaksanaan amalan perniagaan beretika secara konsisten.
“Melalui pembaharuan berterusan, FGV telah memperkukuh amalan buruh, melindungi hak asasi manusia serta menanamkan prinsip kelestarian dalam setiap aspek perniagaan.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen kami untuk memenuhi piawaian antarabangsa dan mengekalkan akses ke pasaran utama seperti AS,” katanya.
Tambah beliau, hak, kebajikan dan suara pekerja kekal menjadi tunjang utama operasi FGV, manakala kelestarian terus menjadi panduan dalam setiap tindakan kumpulan.
“FGV merakamkan penghargaan kepada CBP atas panduan serta kecekapan pihak berkuasa itu dalam meminda WRO, selain pengiktirafan terhadap usaha berterusan Kumpulan dalam memperbaiki dan memperkukuh amalan buruh,” katanya.
Pindaan WRO tersebut adalah hasil usaha menyeluruh dan berterusan Kumpulan dalam memperkukuh amalan buruh selaras dengan peraturan tempatan serta piawaian antarabangsa, termasuk pematuhan kepada ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memastikan tiada amalan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam operasinya.
Antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk memperkukuh prosedur pengambilan pekerja berasaskan prinsip pengambilan beretika dan bertanggungjawab, termasuk siasatan terhadap yuran pengambilan sebelum berlepas dan selepas ketibaan, selain pembayaran balik sebarang yuran yang telah dibayar oleh pekerja.
FGV turut melaksanakan program pembayaran balik yuran pengambilan yang melibatkan seramai 23,461 pekerja semasa dan bekas pekerja, selaras dengan prinsip “tiada bayaran pengambilan pekerja.
Selain itu, kumpulan telah menaik taraf 2,520 unit kediaman pekerja sedia ada dan membina 1,002 unit rumah baharu antara 2024 hingga 2025, memperbaiki akses air bersih melalui naik taraf 27 loji rawatan air serta pemasangan 1,193 penapis air di 55 lokasi, selain memperluas capaian internet melalui pemasangan satelit di 165 lokasi.
FGV juga melaksanakan sistem digital bagi memantau pematuhan piawaian buruh, termasuk waktu bekerja, hari rehat dan keperluan gaji minimum, di samping mengutamakan suara pekerja menerusi penubuhan Jawatankuasa Komunikasi Harmoni di peringkat ladang.
Mekanisme aduan turut diperkukuh melalui Jawatankuasa Pengurusan Aduan Kumpulan serta penggunaan aplikasi mudah alih FGV yang membolehkan pekerja mengemukakan maklum balas atau aduan dalam bahasa ibunda masing-masing dengan pilihan untuk kekal tanpa nama.
FGV juga bekerjasama dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) bagi mempromosikan kebebasan berpersatuan dan keahlian kesatuan sekerja.
Komitmen FGV dipacu oleh lima teras Kerangka Kelestarian yang diperkukuh merangkumi Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar serta Inovasi dan Teknologi.
Susulan pindaan WRO ini, FGV kekal komited untuk mempertahankan hak asasi manusia dan memperkukuh amalan kelestarian di seluruh operasi serta rantaian bekalannya sejajar dengan piawaian ESG global, sekali gus menyokong pembangunan negara dan daya tahan jangka panjang industri minyak sawit. – UTUSAN










