PETALING JAYA: EDOTCO Group diiktiraf dalam ESG Select List 2025 oleh UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sebagai 3-Star Lister, sekali gus mencerminkan pencapaian syarikat itu merentas tiga kategori utama kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pengiktirafan tersebut mengiktiraf kemajuan dan tindakan nyata EDOTCO dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam operasi perniagaannya, selari dengan aspirasi pembangunan mampan negara serta pengukuhan keterhubungan digital yang inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin berkata, keterhubungan digital merupakan elemen penting kepada kemajuan negara dan perlu dibangunkan secara bertanggungjawab.
“Pengiktirafan sebagai 3-Star Lister dalam ESG Select List 2025 UN Global Compact Network Malaysia & Brunei mencerminkan bagaimana ESG telah menjadi sebahagian daripada cara kerja EDOTCO.
“Ini meliputi daripada kaedah kami membina dan mengendalikan infrastruktur, sehinggalah kepada inovasi yang menyokong agenda kelestarian Malaysia serta memperkukuh akses digital kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan.
EDOTCO menerima pengiktirafan dalam tiga kategori utama ESG Select List.
Bagi kategori ESG Trailblazer, syarikat itu mengoperasikan armada kenderaan elektrik (EV) khusus pertama Malaysia untuk penyelenggaraan lapangan telekomunikasi dengan penggunaan Proton e.MAS 7, sekali gus mengurangkan pelepasan Skop 1 dalam logistik yang sebelum ini bergantung kepada kenderaan diesel.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei, Faroze Nadar berkata, penyertaan EDOTCO dalam ESG Select List membuktikan pelaksanaan inisiatif kelestarian yang disokong oleh hasil yang boleh diukur.
“Usaha ini menunjukkan pendekatan praktikal yang diambil oleh syarikat-syarikat ketika Malaysia meneruskan perjalanan pembangunan mampan,” katanya.
Dalam kategori ESG Breakthrough Innovation, EDOTCO memperkenalkan Biochar Pole pertama seumpamanya iaitu alternatif menara telekomunikasi rendah karbon menggunakan biochar berasaskan kelapa sawit dan ground granulated blast furnace slag (GGBS).
Inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon malah bertindak sebagai simpanan karbon yang stabil, dengan projek perintis pertama dilaksanakan di Kedah dan berpotensi diperluas ke seluruh negara. – UTUSAN










