PETALING JAYA: DagangHalal.com, platform e-dagang B2B disahkan halal terbesar di dunia akan memberi tumpuan kepada pengukuhan platform, penambahbaikan operasi serta pembangunan berterusan keupayaan pematuhan halal digital.
Syarikat melihat 2026 sebagai fasa untuk membina hasil daripada asas yang telah diwujudkan, sejajar dengan pertumbuhan berterusan industri halal global dan peningkatan jangkaan kawal selia yang semakin menekankan ketelusan, kebolehkesanan dan pematuhan berasaskan data.
Anggaran industri menunjukkan pasaran makanan halal global, yang kini bernilai lebih AS$2.7 trilion, dijangka berkembang dengan ketara dalam dekad akan datang, didorong oleh permintaan eksport dan peningkatan piawaian dalam rantaian bekalan antarabangsa.
Syarikat itu berkata, tahun 2025 sebahagian besarnya adalah tentang meletakkan asas yang kukuh.
“Kami menumpukan usaha untuk memperkukuh platform teras, menambah baik alat pematuhan digital, serta membuat persediaan operasi bagi fasa seterusnya.
“Memasuki tahun 2026, kami bercadang untuk meningkatkan pelaksanaan dan penglibatan pasaran, sambil kekal berwaspada terhadap keadaan luaran dan mengekalkan disiplin operasi,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang 2025, DagangHalal menumpukan kepada pengukuhan ekosistemnya serta menterjemahkan usaha pembangunan jangka panjang kepada kesiapsiagaan komersial.
“Antara pencapaian utama tahun tersebut ialah pelaksanaan komersial Halal Internal Assurance System (HIAS), yang direka bagi membantu perniagaan mendigitalkan pematuhan halal, meningkatkan kebolehkesanan dan mengurangkan kebergantungan kepada proses audit manual,” katanya.
Pada masa yang sama, syarikat terus meningkatkan keterlihatan antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran perdagangan utama seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Gulfood (Gulfood), Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Thailand (THAIFEX), Salon International de l’Alimentation, Paris (SIAL Paris) dan Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Anuga, Jerman.
Penglibatan ini menyokong usaha berterusan untuk memperluaskan rangkaian pembeli dan pembekal, di samping mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab sumber halal yang dipercayai.
DagangHalal juga memperkukuh penglibatan dengan pihak berkepentingan industri dan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong kesiapsiagaan pensijilan, piawaian kualiti dan pemudahcaraan eksport, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan keperluan pematuhan yang semakin kompleks di pasaran luar negara.
Melangkah ke hadapan, DagangHalal merancang untuk memberi penekanan yang lebih besar kepada penskalaan ekosistem pematuhan digital, memperluaskan kehadiran pasaran di ASEAN, Timur Tengah dan Asia Timur serta meningkatkan secara berperingkat ciri kebolehkesanan dan tadbir urus berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam HIAS.
Katanya, syarikat juga meneruskan kerja pembangunan sistem pelengkap bagi menyokong operasi pembuatan pintar dan pergudangan sejajar dengan trend Industri 4.0.
“Apabila tadbir urus halal menjadi semakin berteraskan data, kami berusaha untuk menyokong peralihan ini melalui teknologi dan pemudahcaraan perdagangan rentas sempadan.
“Dengan asas yang sebahagian besarnya telah tersedia, tumpuan kami pada 2026 adalah untuk bergerak ke hadapan secara berperingkat dan menilai sejauh mana kemajuan dapat dicapai dalam keadaan pasaran semasa,” katanya.
Dengan eksport halal Malaysia mencecah RM61.8 bilion pada tahun 2024 dan sasaran nasional dijangka meningkat lagi menjelang 2030, DagangHalal percaya tempoh akan datang menawarkan peluang yang signifikan, dengan syarat pelaksanaan kekal berdisiplin dan keadaan pasaran adalah kondusif. – UTUSAN










