CEO Series 2026 fokus potensi JS-SEZ, perkukuh ketahanan ekonomi hartanah - Utusan Malaysia

CEO Series 2026 fokus potensi JS-SEZ, perkukuh ketahanan ekonomi hartanah

JEFFREY Ng (tengah) berucap mengenai CEO Series 2026 di Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bakal menganjurkan persidangan CEO Series 2026 yang memberi tumpuan khusus kepada potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta strategi memperkukuh ketahanan ekonomi negara dalam mendepani cabaran global.

Pengerusi Rehda, Datuk Jeffrey Ng berkata, gabungan dinamik antara kedua-dua wilayah ini mempunyai implikasi penting untuk daya saing negara.

“Integrasi ini memberikan penekanan terhadap ekosistem industri rentas sempadan, pembangunan berorientasikan transit (TOD), permintaan perumahan serta peranan kesalinghubungan serantau yang semakin penting dalam memacu aliran pelaburan dan aktiviti ekonomi.

“Integrasi rentas sempadan tersebut melangkaui aspek geografi atau infrastruktur semata-mata, sekali gus memerlukan kerjasama erat dari segi perancangan dan polisi bagi memastikan kelangsungan nilai jangka panjang,” katanya dalam sidang media pra-pelancaran CEO Series 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Rehda, Datuk Ho Hon Sang berkata, daya saing ekosistem negara memerlukan pelaburan strategik dalam aspek infrastruktur dan teknologi.

“Keupayaan untuk menukar haluan dengan pantas memerlukan pelaburan dalam pembangunan sumber manusia melalui latihan dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan ketahanan industri mendepani aliran pasaran yang dinamik,” katanya.

Penganjuran CEO Series 2026 dijangka menjadi platform utama buat peneraju industri untuk menilai isyarat dasar kerajaan serta merangka strategi perniagaan yang lebih mampan sepanjang tahun ini.

Persidangan dijadualkan berlangsung pada 15 Januari ini bakal dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu, persidangan tersebut juga akan menyaksikan pelancaran Rehda Institute Youth Initiative (RIYI), sebuah program bimbingan korporat yang bertujuan merapatkan jurang antara dunia akademik dan realiti industri pembinaan serta hartanah bagi mahasiswa terpilih oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN