Caltex Malaysia lantik Leong Jee Wong sebagai Pengerusi Negara

Caltex Malaysia lantik Leong Jee Wong sebagai Pengerusi Negara baharu

LEONG JEE WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Caltex Malaysia melantik Leong Jee Wong sebagai Pengerusi Negara baharu berkuat kuasa 12 Januari 2026, sekali gus memperkukuh kepimpinan syarikat dalam meneruskan agenda pertumbuhan perniagaan dan pengukuhan kedudukannya dalam industri tenaga negara.

Caltex berkata, Jee Wong membawa lebih 27 tahun pengalaman dalam industri tenaga dan sebelum ini memegang jawatan Pengurus Bahan Api dan Pelincir, bertanggungjawab mengawasi saluran jualan bahan api serta pelincir di Singapura.

Menurut Jee Wong, pelantikan itu merupakan satu penghormatan untuk menerajui syarikat yang mempunyai legasi kukuh dan barisan tenaga kerja berpengalaman.

“Ia satu penghormatan untuk memimpin sebuah organisasi dengan legasi yang kukuh dan pasukan yang berbakat. Sepanjang bersama Caltex, saya berpeluang berkembang seiring dengan syarikat melalui pelbagai peranan yang mencerminkan perjalanan dan kemajuan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Jee Wong menyertai Caltex pada 2005 dan menghabiskan hampir dua dekad membina kepakaran dalam bidang jualan dan operasi, sekali gus membentuk kerjaya menyeluruh dalam perniagaan hiliran syarikat itu. 

Pengalamannya merangkumi pengurusan dagangan, bahan api komersial dan industri, bekalan serta pengedaran produk, operasi terminal dan jualan pelincir di seluruh rantau Asia Tenggara.

Beliau juga pernah berkhidmat di Malaysia sebagai Pengurus Kawasan Pengangkutan dan Operasi dari 2017 hingga 2020, yang memberinya pemahaman mendalam terhadap rantaian bekalan tenaga tempatan.

Jee Wong berkata, pengalaman luas tersebut membolehkannya memacu perniagaan dengan pemahaman jelas terhadap pemacu nilai utama dalam industri tenaga yang semakin dinamik.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan komitmen terhadap nilai teras syarikat yang menjadi tunjang budaya Caltex, meskipun organisasi itu terus berkembang menjadi lebih tangkas dan efisien.

Menerusi peranan baharunya, Jee Wong berhasrat bekerjasama rapat dengan rakan niaga runcit Caltex Malaysia bagi menyokong komuniti tempatan, menyediakan penyelesaian tenaga mampu milik serta mengukuhkan lagi reputasi syarikat dari segi modal insan, perkongsian strategik dan prestasi perniagaan.

Pelantikan tersebut dilihat sebagai langkah strategik Caltex Malaysia dalam memastikan kesinambungan kepimpinan berpengalaman bagi menghadapi cabaran dan peluang baharu dalam sektor tenaga domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN