Bursa Malaysia sasar IPO sebanyak RM28 bilion pada 2026

Bursa Malaysia sasar IPO sebanyak RM28 bilion pada 2026

FAD'L MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia menyasarkan permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM28 bilion pada 2026 meningkat daripada RM27.4 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan pasaran modal tempatan menarik syarikat berskala besar dan berdaya saing.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, meskipun bilangan IPO kekal penting, petunjuk prestasi utama (KPI) bursa bagi tahun berkenaan akan lebih menekankan permodalan pasaran.

“Langkah itu, mencerminkan strategi Bursa Malaysia untuk menarik lebih banyak syarikat berskala besar dan berdaya saing tinggi untuk disenaraikan di pasaran.

“Seiring sasaran itu, Bursa Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menyokong semua segmen pasaran termasuk Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi kewangan tahun kewangan 2025 hari ini. 

Jelasnya, tahun lalu menyaksikan 14 IPO di Pasaran Utama dan usaha akan diteruskan bagi meningkatkan penyertaan syarikat besar, di samping mengekalkan peranan Pasaran ACE sebagai platform pembiayaan utama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan yang sedang berkembang.

“Walaupun nisbah penyenaraian di Pasaran ACE dijangka kekal lebih tinggi berikutan bilangan syarikat yang lebih ramai, Bursa Malaysia turut memberi penekanan kepada penyenaraian Pasaran Utama yang lebih besar dari segi saiz dan nilai.

“Setakat ini, enam IPO telah direkodkan bagi tahun semasa dan prestasi itu meletakkan pasaran pada landasan yang positif sekiranya momentum berterusan hingga akhir tahun. 

“Namun, Bursa Malaysia menegaskan bilangan IPO bukan lagi penanda aras utama, sebaliknya permodalan pasaran dan kualiti syarikat tersenarai menjadi fokus strategik,” katanya.

Dari segi prestasi kewangan, perbelanjaan kumpulan mencatat peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh pelaburan berkaitan teknologi serta kenaikan perbelanjaan lain, sebahagiannya tertumpu pada suku keempat. 

“Peningkatan ini jelas ketara pada suku terakhir tahun kewangan apabila beberapa komponen kos mencatat lonjakan.

“Susulan pergerakan tersebut, prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2025 merekodkan penurunan sebanyak 19.3 peratus. 

“Penurunan ini mempunyai kolerasi langsung dengan kejatuhan hampir 20 peratus hasil purata nilai dagangan harian (ADB), yang seterusnya memberi kesan ketara kepada keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai, masing-masing susut hampir 20 peratus,” katanya.

Dalam tempoh sama, nisbah kos kepada pendapatan meningkat sebanyak enam mata peratusan kepada 54 peratus, berbanding paras pada akhir tahun kewangan 2024.

Bagi tahun kewangan 2025, hampir semua segmen hasil operasi merekodkan peningkatan tahun ke tahun, kecuali hasil dagangan sekuriti dan derivatif. 

Secara keseluruhan, jumlah hasil operasi menyusut 7.5 peratus, disebabkan oleh purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih rendah, meskipun dagangan sekuriti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah hasil operasi pada kadar 44 peratus.

Hasil dagangan derivatif, yang merangkumi kira-kira 16 peratus daripada jumlah hasil operasi kumpulan pada 2025, mencatat penurunan marginal sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun. 

Penurunan ini berpunca terutamanya daripada yuran perkhidmatan pengurusan cagaran yang lebih rendah, walaupun purata kontrak harian (ADC) meningkat dalam tempoh berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN