PETALING JAYA: Prestasi Bursa Malaysia dijangka kekal positif tahun ini dengan pergerakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan berada dalam julat 1,750 hingga 1,810 mata, disokong asas ekonomi domestik yang stabil serta jangkaan persekitaran kadar faedah global yang lebih akomodatif.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sasaran tersebut adalah munasabah sekiranya ketidaktentuan global, khususnya berkaitan tarif perdagangan, terus mereda sepanjang 2026.
“Sekiranya ketegangan tarif global semakin berkurangan, ia akan mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih tenang dan menyokong aliran masuk modal ke pasaran ekuiti sedang pesat membangun seperti Malaysia.
“Dalam keadaan itu, pasaran saham tempatan mempunyai ruang untuk mencatat kenaikan yang lebih kukuh berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengemudi landskap tarif semasa berikutan tahap pengecualian eksport yang agak tinggi, sekali gus mengurangkan kesan langsung terhadap prestasi korporat tempatan.
“Struktur eksport negara yang lebih pelbagai serta pengecualian terhadap beberapa produk utama memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding beberapa negara lain di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, unjuran FBM KLCI pada paras 1,810 mata turut disokong oleh jangkaan peningkatan pendapatan korporat serta kestabilan nilai ringgit.
“Apabila pendapatan syarikat bertambah baik dan risiko luaran semakin reda, sentimen pelabur akan menjadi lebih positif.
“Pengukuhan atau kestabilan ringgit juga akan meningkatkan daya tarikan pasaran saham tempatan kepada pelabur asing,” katanya.
Menurut beliau, langkah konsolidasi fiskal kerajaan dan pengurangan defisit secara berperingkat turut menyumbang kepada keyakinan pasaran terhadap prospek ekonomi jangka sederhana.
“Disiplin fiskal yang baik akan mengukuhkan persepsi pelabur terhadap daya tahan ekonomi Malaysia dan menyokong penilaian pasaran ekuiti,” ujarnya.
Dalam pada itu, CGS International dalam unjuran terbaharunya berpandangan tahun 2026 dijangka menjadi tempoh yang lebih tenang bagi pasaran ekuiti global berikutan ketegangan tarif yang semakin berkurangan.
Firma penyelidikan turut menjangkakan Malaysia berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengharungi landskap tarif semasa berikutan tahap pengecualian eksport yang lebih tinggi, sekali gus menyokong sasaran FBM KLCI pada paras 1,810 mata menjelang akhir 2026.
“Bursa Malaysia dijangka mencatat prestasi yang lebih kukuh dan stabil pada 2026, disokong faktor luaran yang lebih kondusif serta asas ekonomi domestik yang terus mampan,” katanya.
Mengulas mengenai unjuran minggu ini, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, apabila pasaran kembali aktif selepas cuti hujung tahun, penyertaan pelabur dan kecairan dijangka meningkat dengan lebih bermakna, sekali gus membolehkan penemuan harga mencerminkan isyarat makroekonomi yang semakin bertambah baik.
Menurutnya, ketiadaan pelabur sepanjang musim cuti sebelum ini turut mewujudkan tempoh reaksi tertangguh terhadap data terkini, khususnya keluaran Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang memberangsangkan.
“Sektor pembuatan Malaysia kini kembali berada dalam zon pengembangan, manakala petunjuk aktiviti ekonomi China turut menunjukkan pemulihan yang semakin kukuh. Perkembangan ini dijangka mewujudkan nada pasaran yang lebih konstruktif apabila pelabur kembali mengambil posisi dan menilai semula prospek serantau.
Tambah beliau, secara keseluruhan, gabungan momentum PMI Asia yang semakin baik dan ketahanan pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan risiko pertumbuhan global semakin reda, bukannya bertambah.
“Apabila kecairan pasaran kembali normal minggu hadapan, keadaan ini dijangka mendorong peningkatan selera risiko serta mewujudkan persekitaran dagangan yang lebih menyokong untuk Bursa Malaysia pada awal tahun 2026,” tambahnya. – UTUSAN










