KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM250.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susut daripada RM310.12 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, hasil syarikat merosot kepada RM727.73 juta berbanding RM784.3 juta pada tahun kewangan 2024.
Hasil daripada pasaran sekuriti negara pada tahun kewangan 2025 menurun kepada RM308.2 juta, berbanding RM381.5 juta pada tahun kewangan 2024, susulan penurunan 19.8 peratus dalam purata nilai dagangan harian merangkumi dagangan di pasaran dan dagangan perniagaan langsung.
Sementara itu, hasil dagangan dalam pasaran derivatif mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.9 peratus kepada RM112.8 juta, disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah pada tahun kewangan 2025.
Dalam segmen Pasaran Islam, hasil operasi meningkat 31.2 peratus kepada RM23.5 juta pada tahun kewangan 2025, berbanding RM17.9 juta pada tahun kewangan 2024.
Menurut Bursa Malaysia, peningkatan ini didorong oleh hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) yang lebih tinggi sebanyak RM20.2 juta.
Hasil dagangan daripada Bursa Gold Dinar pula meningkat tiga kali ganda kepada RM3.3 juta pada tahun kewangan 2025, berbanding RM1 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil perniagaan data bursa meningkat 3.9 peratus kepada RM81.4 juta, disumbangkan oleh permintaan yang berterusan serta peningkatan jumlah langganan.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias berkata, walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, Bursa Malaysia mengekalkan pelaksanaan yang berdisiplin dan mencatat prestasi yang berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan stabil hasil bukan dagangan serta inisiatif pembangunan pasaran yang konsisten.
“Sejajar dengan prestasi tersebut, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14 sen sesaham, dengan tarikh pembayaran pada 27 Februari 2026,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










