Bursa dijangka meningkat melepasi 1,730 mata minggu ini

Bursa dijangka meningkat melepasi 1,730 mata minggu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan pengukukuhan pada minggu ini dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal melepasi paras 1,700 mata, menurut penganalisis.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, sentimen positif lazimnya wujud pada awal tahun apabila pengurus dana mula mengorak langkah bagi meraih keuntungan awal dalam pasaran ekuiti.

“Bursa Malaysia berpotensi bergerak dalam julat 1,720 hingga 1,730 mata pada minggu ini, disokong oleh aktiviti belian terpilih,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka menjadi tumpuan utama pelabur berikutan prospek pertumbuhan yang lebih memberangsangkan.

Tambahnya, faktor kestabilan ekonomi domestik serta jangkaan aliran masuk dana asing turut menyumbang kepada prestasi positif pasaran saham tempatan.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,720 mata.

“Paras 1,720 dijangka menjadi rintangan psikologi jangka pendek, manakala 1,680 berfungsi sebagai sokongan teknikal utama. 

“Kebanyakan firma penyelidikan menjangkakan pasaran memasuki fasa penyatuan selepas kenaikan pantas sejak awal Januari,” katanya.

Jelas Barjoyai, saham perbankan kekal menjadi tumpuan, khususnya Maybank, Public Bank dan CIMB Bank, disokong jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal serta pulangan dividen yang menarik.

“Sektor pembinaan dan utiliti terus mendapat sokongan daripada projek infrastruktur serta pembangunan pusat data,” katanya.

Walaupun sentimen pasaran saham tempatan kekal stabil, Barjoyai mengingatkan pelabur agar lebih berhati-hati terhadap beberapa sektor tertentu yang berdepan cabaran luaran dan kitaran industri.

“Antara sektor yang memerlukan perhatian ialah teknologi berorientasikan eksport, yang kekal terdedah kepada ketidaktentuan dasar perdagangan global serta perubahan sentimen permintaan luar negara. 

“Sektor minyak dan gas pula berdepan risiko turun naik harga komoditi yang sukar dijangka, manakala sektor sarung tangan dan penjagaan kesihatan terus melalui fasa normalisasi permintaan selepas lonjakan luar biasa semasa pandemik,” katanya. 

Bagi jangka pendek, Barjoyai menjangkakan pasaran bergerak dalam keadaan stabil, dengan pemilihan saham dijangka lebih penting berbanding hala tuju indeks secara keseluruhan.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, aliran menaik pasaran dilihat masih utuh, namun dijangka berlaku secara lebih berperingkat dan selektif, selari dengan keadaan pasaran yang semakin matang,” katanya. 

Barjoyai turut menegaskan tema utama pasaran bagi 2026 akan tertumpu kepada ketahanan ekonomi domestik, pelaksanaan reformasi struktur serta kemasukan semula dana asing secara beransur-ansur.

“Secara keseluruhan, pasaran Malaysia kini disifatkan berada dalam fasa pelaburan berasaskan asas kukuh dan tidak lagi didorong oleh aktiviti spekulasi jangka pendek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN