Brunei pasaran eksport pertama Proton X50 serba baharu - Utusan Malaysia

Brunei pasaran eksport pertama Proton X50 serba baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. menerusi Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) melancarkan Proton X50 Serba Baharu di Brunei, sekali gus menjadikan negara itu pasaran eksport pertama bagi model berkenaan susulan prestasi eksport memberangsangkan yang dicatatkan sepanjang 2025.

Pelancaran Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) kompak terlaris Malaysia itu menandakan langkah penting Proton dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran antarabangsa, khususnya di negara pemanduan sebelah kanan, dengan Brunei kekal sebagai antara pasaran eksport utama.

Naib Presiden PICSB, Wan Wei berkata, pemilihan Brunei sebagai pasaran eksport pertama mencerminkan keyakinan Proton terhadap potensi negara itu serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang bersama Pad Motors.

“Pelancaran Proton X50 Serba Baharu di Brunei menegaskan peranan penting negara ini dalam perjalanan antarabangsa Proton. Dengan model seperti Proton X50, kami berada pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran eksport 2026 dan mempercepatkan aspirasi jangka panjang syarikat,” katanya dalam kenyataan. 

Pada 2025, PICSB mencatatkan eksport kira-kira 6,000 unit kenderaan, dengan Proton X50 menyumbang 29 peratus daripada keseluruhan jualan eksport. 

Di pasaran Brunei pula, model itu merangkumi 38 peratus daripada jumlah jualan Proton, menjadikannya antara SUV paling laris di negara berkenaan.

Bagi tahun ini, Brunei dijangka terus menjadi pemacu penting pertumbuhan eksport Proton dengan sasaran jualan 1,000 unit, disokong oleh pengenalan model yang dipertingkatkan cirinya seperti Proton X50 serta pelancaran Proton Saga serba baharu pada masa hadapan.

Bagi pasaran Brunei, Proton X50 Serba Baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Executive pada harga B$27,499 (RM95,000), Premium pada harga B$31,500 (RM109,000) dan Flagship pada harga B$34,500 (RM120,000). 

Pelanggan terawal turut menikmati diskaun B$1,500 (RM5,200) untuk 100 pembeli pertama, selain jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 kilometer serta enam kali servis buruh percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN