Binastra terima kontrak pembangunan pangsapuri bernilai RM742.86 juta - Utusan Malaysia

Binastra terima kontrak pembangunan pangsapuri bernilai RM742.86 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Binastra Corporation Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn. Bhd., menerima kontrak bernilai RM742.86 juta bagi melaksanakan kerja-kerja bangunan utama untuk pembangunan pangsapuri perkhidmatan setinggi 72 tingkat di Mukim Plentong, Johor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra Corporation berkata, syarikat menerima surat anugerah hari ini daripada Maxim Pelangi Sdn. Bhd. bagi projek pembangunan berstrata melibatkan 2,743 unit pangsapuri perkhidmatan.

Katanya, nilai kontrak tersebut merangkumi jumlah kontingensi RM20 juta, namun tidak termasuk cukai perkhidmatan enam peratus ke atas kerja pembinaan.

“Kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada 5 Mac 2026 dan akan dilaksanakan dalam tempoh 38 bulan.

“Pembangunan itu merangkumi tiga blok pangsapuri perkhidmatan, iaitu Blok A dan B setinggi 49 tingkat masing-masing dengan 858 unit serta Blok C setinggi 59 tingkat yang menempatkan 1,027 unit.

“Projek ini turut melibatkan tingkat kemudahan di Aras 14, podium parkir 13 tingkat serta tiga tingkat ruang komersial merangkumi 56 unit, selain kemudahan sokongan seperti pondok pengawal dan bilik mekanikal dan elektrikal di aras bawah tanah,” katanya.

Menurut Binastra Corporation, kontrak tersebut dijangka menyumbang aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 hingga 2030 serta memberi kesan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh tersebut.

Lembaga pengarah turut mengesahkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan.

“Para pengarah berpandangan bahawa penerimaan kontrak tersebut adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat, sekali gus mengukuhkan lagi buku pesanan dan kedudukan Binastra dalam sektor pembinaan berimpak tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN