Atome memperoleh kemudahan pembiayaan AS$345 juta 

Atome memperoleh kemudahan pembiayaan diperbesarkan AS$345 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atome peroleh pembesaran kemudahan pembiayaan hutang berkelompok (sindiket) bernilai AS$345 juta (RM1.40 billion) untuk pengembangan di Asia Tenggara, meningkat ketara daripada AS$200 juta (RM811.33 juta) yang diperoleh pada 2024.

Ketua Pegawai Komersial Atome, Andy Tan berkata, platform itu kini berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menyokong buku pinjaman yang berkembang pesat, sihat dan menguntungkan.

“Ini sambil memperluaskan penyelesaian kredit yang telus dan fleksibel untuk peniaga serta pengguna. 

“Kami berbesar hati mengalu-alukan rakan pemberi pinjaman baharu dan amat menghargai sokongan berterusan daripada pemberi pinjaman sedia ada. Kemudahan ini telah berkembang dengan ketara dalam tempoh setahun,” katanya dalam kenyataan.

Kemudahan pembiayaan yang diperbesarkan itu menyaksikan HSBC meneruskan sokongannya kepada Atome dengan mengekalkan peranan sebagai Bank Penstrukturan serta Mandated Lead Arranger and Bookrunner (MLAB), manakala DBS turut menyertai sebagai MLAB.

Pemberi pinjaman sedia ada juga yang kembali menyokong termasuk, Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) cawangan Singapura, Baiduri Bank dari Brunei dan Cathay United Bank. 

Bank baharu yang menyertai kemudahan itu termasuk, Fubon Bank dan Shanghai Pudong Development Bank.

Sementara itu, Ketua Perbankan, Perbankan Korporat dan Institusi, HSBC Singapura, Gilbert Ng berkata, HSBC menyokong perniagaan dengan memanfaatkan rangkaian global, kepakaran sektor yang mendalam dan kekuatan modal. 

“Perkongsian jangka panjang kami dengan Atome mencerminkan komitmen ini. Kami menghargai kepercayaan berterusan mereka serta peluang untuk menyokong transaksi penting ini. 

“Kami menantikan lebih banyak kejayaan bersama pada masa hadapan,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Ekonomi Digital, DBS, Chua Shih Guan berkata, DBS berbesar hati menyokong Atome sebagai Mandated Lead Arranger dan Bookrunner, sekali gus menegaskan komitmen mereka memacu pertumbuhan inovatif dan bertanggungjawab dalam ekonomi digital. 

“Atome terus memanfaatkan teknologi dengan jayanya untuk mengembangkan penyelesaian kredit yang mudah diakses, telus dan fleksibel kepada pengguna yang kurang mendapat perkhidmatan di Asia Tenggara. 

“Ini dalam rangka kerja pengurusan risiko yang kukuh, sejajar dengan komitmen DBS untuk mewujudkan impak bermakna di seluruh rantau ini,” katanya. 

Kemudahan yang diperluaskan itu akan mempercepatkan pengembangan portfolio dan produk serantau Atome yang menguntungkan, termasuk beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pembiayaan digital, insurans serta Kad Atome (Pay Later Anywhere) di pasaran utama Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia dan Filipina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN