PETALING JAYA: Asas ekonomi kukuh serta kadar inflasi yang terkawal dijangka mendorong Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama 2026, hari ini.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pendirian dasar monetari dijangka kekal buat masa ini memandangkan keadaan ekonomi masih menyokong pertumbuhan.
Katanya, ekonomi Malaysia dijangka masih mencatat pertumbuhan positif pada suku pertama, dengan kadar inflasi yang terkawal serta nilai ringgit yang stabil, sekali gus mengurangkan keperluan untuk sebarang perubahan terhadap OPR dalam tempoh terdekat.
“Justeru, OPR dijangka kekal sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun ini bagi terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.
“Dasar kadar faedah semasa masih menyokong dan berupaya memacu aktiviti ekonomi. Namun, sekiranya berlaku konflik atau peperangan berskala besar, ia berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi global dan domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai ketegangan geopolitik melibatkan Iran, beliau berkata, setakat ini masih tiada petanda jelas bahawa konflik tersebut akan bertambah buruk.
“Oleh itu, masih terdapat ruang untuk ekonomi global terus bergerak secara relatif lancar, walaupun ketidaktentuan global kekal menjadi risiko utama.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pada tahun lalu, Malaysia menyaksikan pecutan pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga dan keempat.
“Walaupun unjuran pertumbuhan bagi tahun ini masih positif, kadar pertumbuhan tersebut dijangka lebih sederhana berbanding suku sebelumnya, namun masih berpotensi berada pada paras melebihi empat peratus,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, OPR dijangka dikekalkan pada kadar semasa bagi meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi di negara ini.
Katanya, pasaran global ketika ini berdepan dengan kecelaruan geopolitik dan perubahan dalam dasar monetari dibimbangi dapat menambah lagi kepada ketidaktentuan ini.
“Kita tidak mahu mengumpang kepada kecelaruan geopolitik seperti ketegangan berkaitan Amerika Syarikat (AS), Greenland dan sebagainya. Tambahan pula dengan ancaman tarif daripada Presiden AS, Donald Trump.
“Bukan sahaja berikutan isu AS, negara-negara lain mengambil pendekatan berhati-hati kepada ini.
“Oleh itu, saya jangka OPR hanya akan disemak semula pada suku ketiga tahun ini sebab akan berlaku pilihan raya pertengahan penggal di AS dan mungkin akan berlaku perubahan dasar. Jadi, situasi ketika itu lebih jelasnya,” ujarnya. – UTUSAN









