KUALA LUMPUR: Pameran seni bina dan bangunan terbesar negara, ARCHIDEX 2026 menyasarkan nilai pulangan pelaburan dan transaksi perniagaan melebihi RM1.4 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan industri terhadap prospek ekonomi serta sektor pembinaan dan reka bentuk negara.
Pengarah C.I.S Network Sdn Bhd, Jason Lim berkata, pencapaian RM1.4 bilion pada edisi 2025 menjadi penanda aras penting, justeru penganjur optimis sasaran lebih tinggi mampu dicapai tahun ini selari dengan pemulihan ekonomi dan peningkatan aktiviti projek.
“Pada 2025, sekitar 85 peratus pengunjung merupakan pemain industri yang mempunyai projek aktif. Ini membolehkan hubungan perniagaan yang terjalin diterjemahkan kepada nilai transaksi sebanyak RM1.4 bilion.
“Bagi edisi 2026, kami menyasarkan pencapaian yang lebih besar,” katanya dalam sidang media selepas majlis prapelancaran ARCHIDEX 2026 di sini hari ini.
ARCHIDEX 2026 yang memasuki edisi ke-25 bakal berlangsung sepenuhnya di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 29 Julai hingga 1 Ogos, meliputi ruang pameran seluas kira-kira 37,000 meter persegi, iaitu 85 peratus daripada keseluruhan kapasiti pusat pameran tersebut.
Menurut Jason, langkah menghimpunkan keseluruhan pameran di satu lokasi merupakan strategi berani bagi meningkatkan tempoh interaksi pengunjung dengan pempamer, sekali gus memperkukuh impak perniagaan.
“Tahun lalu, pameran diadakan di dua lokasi dan maklum balas yang diterima menunjukkan pengunjung tidak dapat memaksimumkan masa kerana perlu berulang-alik.
“Dengan satu lokasi yang lebih besar, kami dapat menawarkan pengalaman baharu, pameran bertema serta peluang rangkaian perniagaan yang lebih berkesan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Professor Ar. Adrianta Aziz berkata, ARCHIDEX 2026 yang membawa tema ‘Bold Future’ bukan sekadar platform pameran, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri seni bina tempatan dan serantau.
Katanya, pameran itu turut menonjolkan segmen baharu merangkumi seni bina digital, penyelesaian ruang kerja (WOW), hospitaliti (AHA) serta penekanan terhadap kolaborasi antara arkitek, pereka muda dan pemain industri.
“ARCHIDEX bukan hanya tentang saiz, tetapi kualiti. Kami memberi tumpuan kepada kurasi pameran dan penglibatan pengunjung yang benar-benar relevan kepada pempamer. Inilah yang menjadikan ARCHIDEX platform bernilai tinggi kepada industri,” katanya.
Dalam pada itu, PAM turut memperkukuh penglibatan bakat muda menerusi program Architellent, yang kini memasuki tahun kelapan, sebagai medan kepada pelajar dan arkitek muda mempamerkan idea serta hasil kerja di peringkat antarabangsa.
ARCHIDEX 2026 juga akan berlangsung seiring dengan Kuala Lumpur Architecture Festival dan Kuala Lumpur Architecture Week, selari dengan persiapan negara menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh peranan seni bina sebagai identiti budaya dan pemacu ekonomi kreatif negara.
Dengan sasaran nilai transaksi melebihi RM1.4 bilion, ARCHIDEX 2026 dijangka terus menjadi platform strategik yang menyatukan pemain industri, merancakkan pelaburan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab seni bina dan pembinaan di rantau ini. – UTUSAN










