Applecrumby sasar tembusi pasaran 26 negara

Applecrumby sasar tembusi pasaran 26 negara

JESMINE Tan (kanan) dan Sean Tan (dua dari kanan) ketika menerima pengiktirafan daripada Parenthood Records sebagai ‘Lampin Pertama di Malaysia dengan Teras Penyerap Bebas Klorin Sepenuhnya yang Dipatenkan’ di Malaysia Brand Day baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama kesihatan dan kesejahteraan bayi, Applecrumby menyasarkan kehadiran di 26 negara menjelang suku pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri penjagaan bayi serantau dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Applecrumby, Sean Tan berkata, sasaran tersebut dibuat susulan kejayaan syarikat memperoleh pensijilan pematuhan peraturan serta perlindungan harta intelek, termasuk tanda dagangan dan paten, yang menjadi tunjang utama strategi pengembangan antarabangsa syarikat.

“Setiap pasaran mempunyai keperluan peraturan tersendiri. Sebelum jenama dan pemasaran, pematuhan adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan. Pensijilan dan paten bukan sahaja membuka pintu ke lebih banyak pasaran, malah meningkatkan keyakinan rakan pengedaran dan pengguna,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas meraih pengiktirafan daripada Parenthood Records sebagai ‘Lampin Pertama di Malaysia dengan Teras Penyerap Bebas Klorin Sepenuhnya yang Dipatenkan’ di Malaysia Brand Day baru-baru ini. 

Pada acara yang sama, Applecrumby turut memperkenalkan rangkaian penjagaan kulit kanak-kanak yang merangkumi penyelesaian penjagaan kulit asas dan khusus. 

Pelancaran ini menandakan evolusi Applecrumby daripada jenama pakar penjagaan bayi kepada penyedia penyelesaian yang menyokong setiap fasa tumbesaran kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Sean berkata, Applecrumby dibangunkan sebagai penyedia produk keper­luan bayi secara menyeluruh, mengambil kira sensitiviti kulit bayi serta keperluan mereka dari peringkat bayi sehingga kanak-kanak.

“Pendekatan berasaskan kitaran hidup ini menjadikan Applecrumby lebih daripada sekadar jenama produk bayi, sebaliknya rakan sokongan kepada keluarga muda,” katanya. 

Ketika ini, Applecrumby sudah beroperasi di 17 negara, dengan beberapa perjanjian pengedaran hampir dimuktamadkan untuk mencapai sasaran 26 negara. 

Pasaran utama syarikat termasuk Vietnam, Korea Selatan dan Thailand, dengan Korea Selatan menjadi antara pasaran terawal yang menyokong jenama itu sejak hampir lapan tahun lalu.

“Walaupun kami sangat kukuh di Asia Tenggara, kami juga sedang berbincang untuk menembusi pasaran lebih luas termasuk Asia Pasifik, Eropah, Asia Barat, Afrika, India dan Amerika Latin,” katanya. 

Sementara itu, Perintis Bersama Applecrumby, Jesmine Tan berkata, perjalanan jenama itu bermula secara sederhana sebagai perniagaan e-dagang sebelum berkembang menjadi jenama sendiri pada 2016, selepas kira-kira empat hingga lima tahun memahami keperluan pasaran dan pengguna.

“Applecrumby sebenarnya lahir daripada pengalaman peribadi. Sebagai seorang ibu, kami menyedari kesukaran mendapatkan produk bayi yang benar-benar berkualiti dan selamat, terutama ketika anak masih kecil. Daripada situ, kami melihat keperluan sebenar ibu bapa, bukan sahaja di Malaysia tetapi di banyak negara lain,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran, Jesmine mengakui faktor modal dan bakat menjadi kekangan utama pada peringkat awal pertumbuhan. 

Namun, seiring kematangan syarikat, Applecrumby kini menarik minat bakat tempatan dan antarabangsa yang ingin bersama-sama membina jenama global dari Malaysia.

“Cabaran tidak pernah berhenti dalam perniagaan, tetapi kami percaya pekerja adalah aset paling penting. Pekerja yang gembira akan menghasilkan pelanggan yang gembira dan akhirnya memberi nilai kepada pemegang kepentingan.

“Kami mahu dunia tahu bahawa Applecrumby adalah jenama Malaysia. Menjadi jenama Malaysia bukan sesuatu yang perlu direndahkan. Kita boleh berdiri setaraf, malah lebih baik daripada banyak jenama global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN