TIDAK semua kejayaan datang daripada segulung ijazah. Bagi Daniel Woodroof, 29, perjalanan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pandan Social bermula bukan daripada universiti, tetapi daripada keberanian mencuba dan pengalaman dunia sebenar.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mula menempa nama sebagai pelumba Formula BMW pada usia 17 tahun. Namun, kerjaya sebagai pelumba profesional berakhir pada usia 19 tahun apabila kekurangan dana menghentikan impiannya untuk mencecah Formula 1.
Tanpa hala tuju akademik atau kerjaya, Daniel mengambil keputusan berani untuk tidak melanjutkan pelajaran ke universiti. Sebaliknya, beliau menceburi pelbagai industri, termasuk pengurusan acara, pemasaran, dan konsultansi serta bekerja di beberapa negara seperti Thailand, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Pengalaman luas membuka mata saya kepada realiti dunia perniagaan. Daripada situ, saya mempelajari disiplin, ketekunan, dan strategi pengurusan syarikat yang berjaya, juga saya pernah mengurus projek korporat di Amerika walaupun berhadapan rakan sekerja yang jauh lebih berpengalaman dan berpendidikan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Daripada situ lahirlah Pandan Social pada tahun 2019, hanya bermodal serendah RM6,000, Daniel dan rakan perniagaannya membina syarikat itu daripada kosong, tanpa pelaburan luar, tanpa dana besar, dan tanpa sokongan institusi.
Pandan Social berkembang menjadi agensi pemasaran digital yang berdaya saing dan diiktiraf di peringkat tempatan. Kejayaan ini terbukti apabila agensinya dianugerahkan Agensi Digital Tahunan, menunjukkan bagaimana syarikat yang dia bina kini mampu menembusi pasaran dan meraih pengiktirafan profesional.
“Pemilihan nama ‘Pandan’ bukan sekadar kebetulan. Ia mudah disebut, diingati dan ditulis oleh klien antarabangsa, namun tetap mengekalkan identiti Asia Tenggara, juga nama itu kini mewakili bukan sahaja syarikat, tetapi juga visi global yang saya pegang,” katanya.
Namun perjalanan itu tidak mudah. Ketika pandemik Covid-19 melanda, syarikatnya kehilangan banyak kontrak dan terpaksa bergantung sepenuhnya pada modal sendiri untuk terus bertahan.
Dalam tempoh mencabar itu, Daniel tetap memastikan gaji pekerjanya diutamakan walaupun syarikat tidak mengambil sebarang dana luar.
“Ketika saya perlu memilih untuk pekerja saya, saya akan memberi penekanan pada portfolio dan pengalaman sebenar berbanding kelulusan akademik semata-mata.
“Kejayaan tidak bergantung kepada ijazah, tetapi kepada disiplin, keberanian dan kemampuan menyesuaikan diri dengan situasi sebenar,” katanya.
Sokongan keluarga turut menjadi tulang belakang perjalanannya. Walaupun ibunya berharap beliau menyambung pengajian seperti ayahnya yang memiliki doktor falsafah (PhD) dari Oxford, namun ayahnya tetap memberi kebebasan kepada Daniel untuk mencuba pelbagai peluang tanpa tekanan mengikut laluan konvensional.
Walaupun universiti penting bagi sesetengah kerjaya. Namun bagi mereka yang berani meneroka jalan berbeza, pengalaman praktikal, semangat dan disiplin adalah kunci sebenar untuk menggapai impian.
Daniel berpesan kepada golongan muda supaya tidak takut bermula dari bawah atau berasa rendah diri hanya kerana usia masih muda atau tidak mempunyai kelulusan tinggi.
Baginya, kejayaan bukan bergantung pada sijil, tetapi lahir daripada disiplin, pengalaman sebenar dan keberanian mencuba.
Anak muda perlu berani merebut peluang, bekerja lebih rajin daripada orang lain dan belajar mengatasi rasa tidak yakin dalam diri. Jika mereka konsisten dan percaya pada kemampuan sendiri, kejayaan pasti akan datang. – UTUSAN










