Alliance Bank lancar ibu pejabat baharu

Alliance Bank lancar ibu pejabat baharu

MENARA Alliance Bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad  melakar era baharu dalam perjalanan korporatnya dengan pelancaran rasmi ibu pejabat baharu, Menara Alliance Bank yang terletak di Kuala Lumpur Golden Triangle, Jalan Ampang.

Menurut bank itu, Menara Alliance Bank merupakan ibu pejabat milik pertama sejak penubuhannya dan menandakan fasa pertumbuhan baharu selaras dengan pelaksanaan strategi Acceler8 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, bangunan berkenaan mencerminkan evolusi bank sebagai sebuah organisasi moden yang berteraskan kolaborasi, inovasi dan keutamaan pelanggan.

“Menara Alliance Bank mencerminkan siapa kami hari ini sebagai sebuah organisasi. Ia direka sebagai ruang kolaboratif yang menyatukan pasukan Alliance, memacu idea baharu dan menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk pelanggan. Ia bukan sekadar perpindahan, tetapi manifestasi janji jenama kami, The Bank For Life,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, pembinaan ibu pejabat baharu itu turut menjadi simbol komitmen jangka panjang Alliance Bank terhadap Malaysia, selain menekankan budaya serta nilai teras bank dalam usaha menjadi bank untuk semua lapisan rakyat.

Menurut Alliance Bank, setiap tingkat Menara Alliance Bank diinspirasikan oleh landskap semula jadi Malaysia seperti sungai, pantai, muara, daratan dan horizon. 

Reka bentuk hijau itu menggabungkan penggunaan warna, tekstur dan bahan yang mewujudkan suasana tenang serta menyokong gaya kerja moden.

Kemudahan yang disediakan termasuk ruang kolaborasi terbuka, bilik mesyuarat digital, zon kerja fleksibel serta fasiliti kesejahteraan pekerja.

“Falsafah reka bentuk hijau ini memperkukuh kepercayaan kami bahawa kewujudan bank bergantung kepada alam sekitar. Ini merangkumi penggunaan sistem bangunan cekap tenaga, pemilihan bahan secara bertanggungjawab serta ciri yang menggalakkan pengangkutan hijau dan kecekapan sumber,” katanya.

Menara Alliance Bank dijangka mencapai pensijilan BCA Green Mark (Gold) bagi bangunan asas dan pensijilan LEED untuk kerja pengubahsuaian dalaman menjelang 2026.

Selain itu, elemen mesra alam turut diterapkan dalam premis seperti penggunaan permaidani daripada botol plastik kitar semula, kerusi tenunan tangan hasil komuniti Orang Asli serta bantal yang diperbuat daripada kopi terpakai, sekam padi dan jaring nelayan.

Dalam usaha memperkukuh tanggungjawab sosial korporat, bidai dari pejabat lama telah diubah suai menjadi beg tote, manakala hampir 300 perabot yang diperbaharui disumbangkan kepada sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Menara Alliance Bank turut menempatkan cawangan utama bank serta ruang fleksibel bagi penganjuran program penglibatan komuniti dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sejajar dengan aspirasi Bank sebagai The Bank For Life.

Tambahnya, penyatuan kira-kira 2,000 kakitangan di bawah satu ibu pejabat bersepadu membolehkan proses membuat keputusan dilaksanakan dengan lebih pantas, kolaborasi dipertingkatkan serta penyelesaian kewangan yang lebih holistik ditawarkan kepada pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN