KUALA LUMPUR: Kebimbangan bahawa kecerdasan buatan (AI) dan automasi akan menghapuskan sebahagian besar pekerjaan adalah dakwaan yang dibesar-besarkan dan tidak berasas dari sudut ekonomi.
Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn. Bhd., Prof. Dr. Geoffrey Williams berkata, pengalaman revolusi teknologi terdahulu membuktikan bahawa teknologi tidak memansuhkan pekerjaan secara menyeluruh, sebaliknya mengubah sifat tugasan dalam sesuatu peranan serta meningkatkan produktiviti dan nilai tambah ekonomi.
“Kesilapan besar dalam banyak ramalan ialah menyamakan penggantian tugasan dengan penghapusan pekerjaan.
“AI menggantikan kerja rutin, tetapi keperluan terhadap kawalan, pertimbangan dan nilai kemanusiaan masih kekal,” katanya semasa sesi panel AI: Masa Depan Rakyat Malaysia, Implikasi Sosial dan Jaringan Keselamatan di Hari Korporat Malaysia Tahunan ke-18 CGS International 2026, semalam.
Menurut beliau, AI dan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) lazimnya menggantikan tugasan berulang, diikuti perubahan fungsi pekerjaan dan peningkatan produktiviti, yang akhirnya mewujudkan pekerjaan baharu serta peluang ekonomi bernilai tinggi.
“Kewujudan pekerjaan yang bersifat ‘tahan teknologi’, khususnya dalam sektor penjagaan dan perkhidmatan sosial, yang tidak boleh digantikan oleh mesin kerana memerlukan empati dan sentuhan manusia,” katanya.
Mengulas isu pendapatan asas, Williams berkata, konsep pendapatan asas bukan galakan untuk tidak bekerja, sebaliknya bertindak sebagai jaringan keselamatan bagi memastikan pendapatan minimum rakyat terpelihara.
“Malaysia sebenarnya sudah melaksanakan bentuk asas pendapatan ini melalui bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Ia bukan pengganti kerja, tetapi mekanisme sokongan ketika ekonomi berubah.
“Jumlah yang diberikan setiap bulan merupakan jumlah yang cukup dan membantu keluarga dalam segi penyediaan barangan asas rumah,” katanya.
Tambahnya, konsensus dalam kalangan ahli ekonomi menunjukkan skim pendapatan asas berkesan mengurangkan ketidaktentuan pendapatan tanpa menjejaskan insentif untuk bekerja.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Maklumat Bioteknologi Malaysia, Ts. Dr. Mahaletchumy Arujanan berkata, cabaran sebenar kebolehpasaran tenaga kerja berpunca daripada kegagalan sebahagian pekerja dan graduan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi.
“AI akan memberi kesan besar kepada pekerjaan rutin di peringkat bawah rantaian nilai sekiranya pekerja tidak mempunyai kemahiran boleh pindah, pemikiran kritikal dan keupayaan analitikal.
“Keperluan telah mendesak untuk reformasi pendidikan dan pelaburan dalam penyelidikan asas, memandangkan AI hanya mampu berfungsi berdasarkan data sedia ada, manakala penciptaan data baharu memerlukan usaha penyelidikan manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah NineYards Ventures Sdn. Bhd., Nadiah Wan berkata, AI turut membuka ruang baharu kepada keusahawanan, khususnya perusahaan kecil yang beroperasi dalam perkhidmatan digital dan produk berasaskan kod.
“Walaupun pekerjaan formal mungkin berkurang, kita melihat lebih banyak perusahaan kecil muncul dan menembusi pasaran antarabangsa. Cabarannya ialah bagaimana syarikat ini berkembang secara mampan, termasuk dari aspek keselamatan siber dan tadbir urus data.
“AI bukan ancaman mutlak kepada masa depan pekerjaan, sebaliknya pemangkin kepada perubahan struktur ekonomi.
“Keupayaan Malaysia mengurus peralihan ini bergantung kepada pelaburan berterusan dalam kemahiran, penyelidikan, pendidikan serta rangka dasar dan jaringan keselamatan sosial yang inklusif,” katanya. – UTUSAN










