PETALING JAYA: Ali Husin & Bros Group Sdn. Bhd. (AHB Group) memperuntukkan pelaburan bernilai antara ratusan ribu hingga jutaan ringgit bergantung kepada fasa projek dan keperluan secara berperingkat bagi operasi pembinaan rumah tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah AHB Group, Mohd. Hawarie Tan Muzi berkata, pelaburan tersebut merangkumi pengukuhan modal kerja, pembangunan sistem dalaman, teknologi dan automasi serta pengambilan dan pembangunan bakat profesional.
“Pendekatan pelaburan kami adalah berhati-hati, berfasa dan berasaskan aliran tunai sebenar bagi memastikan pertumbuhan syarikat yang stabil dan mampan.
“Dengan strategi ini, AHB Group berhasrat membuktikan keupayaan sistem dan kepakarannya dalam setiap projek, bukan sekadar mengejar kuantiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, syarikat turut menyasarkan pengukuhan sistem, penskalaan operasi dan perluasan nilai perkhidmatan sebagai fokus utama pada tahun ini.
“Perkara itu akan dilaksanakan dengan matlamat menjadikan pembinaan rumah atas tanah sendiri lebih tersusun, telus dan terkawal dari segi kos, khususnya bagi pasaran M40 dan T20.
“Selain itu, antara perancangan utama kami juga termasuk menstrukturkan AHB Group sebagai organisasi Reka Bentuk dan Bina (Design & Build) yang sistematik, memperkukuh tadbir urus, kewangan dan pematuhan industri serta meningkatkan kapasiti pasukan teknikal, pengurusan projek dan jualan.
“Syarikat juga menekankan pemanfaatan teknologi, automasi dan pendekatan digital dalam pemasaran serta pengurusan projek.
“Bagi projek terdekat, kami akan menumpu pembinaan rumah atas tanah sendiri di beberapa lokasi strategik di Perak, termasuk projek berkonsepkan reka bentuk moden dan praktikal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, AHB Group muncul sebagai antara syarikat bumiputera Perak yang membawa pendekatan lebih tersusun dan profesional dalam segmen pembinaan rumah atas tanah sendiri.
“Pendekatan ini seiring dengan landskap industri pembinaan yang sering berdepan isu kos meningkat, kekurangan sistem dan risiko projek terbengkalai.
“Syarikat berhasrat menjadikan Perak sebagai pusat rujukan nasional bagi pembinaan rumah atas tanah sendiri, dengan AHB Group memainkan peranan sebagai peneraju dalam aspek sistem, reka bentuk dan tadbir urus projek.
“Kami mahu rakyat yakin bahawa membina rumah atas tanah sendiri boleh dilakukan dengan selamat, terancang dan bermaruah,” katanya.
Dalam pada itu, AHB Group turut menerima Anugerah Bumiputera Excellence in Residential Design & Built 2025, selain disenaraikan antara Top 3 Kontraktor, Pemaju & Hartanah Perak 2025 baru-baru ini.
Mohd. Hawarie berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian korporat, tetapi pengiktirafan terhadap usaha membina sistem yang telus dan berintegriti dalam industri pembinaan rumah individu.
“Kami mahu bina kepercayaan sebelum bina rumah. Itu asas kepada semua projek AHB Group.
“AHB Group dikenali dengan pendekatan ‘Realisasikan Impian’, yang menekankan kepentingan rekaan berkualiti sebagai asas kepada rumah yang selesa dan bernilai tinggi.
“Justeru, antara projek yang mencerminkan pendekatan ini ialah pembangunan rumah konsep Indoor Zen Garden di Tanjung Malim, yang menggabungkan elemen pencahayaan semula jadi, susun atur moden dan ruang dalaman yang menenangkan,” katanya. – UTUSAN










