WE2025 catat RM109 juta potensi perdagangan dan pelaburan

WE2025 catat RM109 juta potensi perdagangan dan pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: WE2025: Future in Motion dengan kerjasama MATRADE INSP mencatatkan kira-kira RM109 juta potensi perdagangan dan pelaburan, melepasi sasaran asal sebanyak RM100 juta. 

Angka itu tidak termasuk potensi jualan dan peluang perdagangan tambahan dijana melalui Ekspo Perdagangan WE2025 dan acara satelit, yang turut mencatat penyertaan memberangsangkan sepanjang sidang kemuncak ini.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia dan Pengerusi Penganjur Bersama WE2025, Richard Teo berkata, acara itu mendapat sambutan luar biasa sepanjang tiga hari penganjurannya. 

“Pengumuman yang dibuat dan peluang perniagaan yang terjalin telah meletakkan asas penting kepada usaha mengukuhkan peranan wanita dalam perdagangan, inovasi dan kepimpinan. 

“Kesemua ini turut dimantapkan lagi melalui pandangan bernas yang dikongsi dalam acara satelit pada hari terakhir ini,” katanya dalam kenyataan. 

Acara itu telah mengadakan lebih 200 libat urus perniagaan merangkumi pelbagai sektor termasuk ICT digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, makanan dan minuman (F&B), kesihatan dan kesejahteraan, serta perkhidmatan profesional menerusi sesi padanan perniagaan WE in Exchange yang dianjurkan. 

Sementara itu, mesyuarat Pertama Lembaga ACWO 2025 yang diadakan oleh Persekutuan Pertubuhan Wanita ASEAN (ACWO) dihadiri secara fizikal oleh 23 delegasi daripada lapan negara anggota ASEAN dengan penyertaan beberapa delegasi lain secara maya disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk.

Mesyuarat pada mulanya dipengerusikan secara maya oleh Naib Presiden ACWO, Nanny Hadi Tjahjanto (KOWANI Indonesia) dengan terjemahan secara langsung oleh Prof. Ibu Popy Rufaidah. 

Sesi kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung ACWO, Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Shahabudin, yang juga Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO Malaysia), yang bertindak sebagai pengerusi mesyuarat.

Antara perkara utama yang diputuskan pada mesyuarat itu ialah penyerahan jawatan Bendahari ACWO daripada NCWO Malaysia kepada Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Thailand bagi penggal 2025 hingga 2026. 

Mesyuarat turut menerima secara rasmi penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ACWO baharu, yang diwakili oleh empat delegasi yang turut berkongsi sebuah video penuh inspirasi mengenai perjalanan negara itu menuju kemerdekaan dan pertumbuhan sosio-ekonomi.

Mesyuarat Lembaga tersebut mengukuhkan semangat persaudaraan, perpaduan, dan kerjasama dalam kalangan pemimpin wanita ASEAN, sekali gus memperkukuh rangkaian serantau yang komited untuk memacu pemerkasaan wanita. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN