Techpark Enstek Life Science Park pacu N. Sembilan sebagai kluster sains hayat pertama negara

Techpark Enstek Life Science Park pacu N. Sembilan sebagai kluster sains hayat pertama negara

DATUK Seri Aminuddin Harun (tengah) menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara THP Enstek Development Sdn Bhd (THPED), Pengerusi Tabung Haji (TH) Properties, Datuk Husam Musa (dua kiri) dan Invest Negeri Sembilan (Invest NS), Ketua Pegawai Eksekutif, Invest NS, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon (kanan) bergambar selepas menandantangani kerjasama MoU pada majlis pecah tanah Techpark Enstek, Life Science Park di Techpark, Bandar Enstek, di sini, hari ini. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Techpark Enstek Life Science Park bakal meletakkan Negeri Sembilan sebagai kluster pertama bagi industri farmaseutikal, bioteknologi, teknologi perubatan serta keseluruhan rantaian nilai sains hayat di Malaysia. 

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek pembangunan seluas 183 hektar itu turut menjadi sebahagian daripada agenda penyusunan semula ekonomi negeri, yang menekankan pertumbuhan mampan, peningkatan daya saing industri serta penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Katanya, kluster itu telah mula dibincangkan sejak enam bulan lalu, dengan penglibatan aktif pihak kerajaan dan pemain industri utama. 

“Sokongan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai pemangkin penting bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, termasuk dari segi kelulusan, insentif pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

“Ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi satu Pusat Tumpuan Strategik yang berpotensi besar kepada ekonomi negara, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi. 

“Inisiatif strategik ini dijangka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu negara, khususnya dalam sektor farmaseutikal, perubatan dan bioteknologi, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global industri sains hayat,” katanya kepada pemberita Majlis Pecah Tanah Techpark Enstek di Bandar Enstek hari ini. 

Menurut beliau, hasrat kerajaan Negeri Sembilan adalah untuk menjadikan pusat ini sebagai hab sains hayat yang benar-benar memberi impak besar, bukan sahaja kepada ekonomi negeri, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Jelas Aminuddin, ketika ini, ekonomi Malaysia sering dikaitkan dengan sektor Elektrik dan Elektronik (E&E). 

“Namun, landskap pelaburan global kini menunjukkan bahawa sains hayat muncul sebagai antara sektor pelaburan terbesar dunia, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap produk kesihatan, ubat-ubatan dan teknologi perubatan,” katanya. 

Life Science Park turut diperakui sebagai taman industri berasaskan halal hujung ke hujung pembuatan melalui pengiktirafan Halal Development Corporation (HDC).

Malah, kawasan ini juga merupakan pemegang status Taman Industri Halal berstatus HALMAS (Halal Malaysia), sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap standard pematuhan dan integriti rantaian industrinya.

 Selaras dengan kemajuan ekonomi, usaha ini diperkukuh melalui pembangunan kawasan perindustrian baharu dalam wilayah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dan bakal menjadi pemacu utama pelaburan, khususnya dalam sektor perkilangan, teknologi hijau, aeroangkasa, logistik dan bandar pintar. 

Aminuddin berkata, kedudukan strategik Techpark Enstek yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta jaringan logistik utama negara turut mengukuhkan potensi Life Science Park sebagai destinasi pelaburan yang sangat kompetitif.

“Life Science Park ini juga dijangka mewujudkan 10,000 hingga 15,000 peluang pekerjaan di sini kelak.

“Seiring dengan itu, Negeri Sembilan turut giat memperkukuh asas ekonomi melalui peningkatan pelaburan strategik dan dijangka menarik pelaburan bernilai RM8 bilion pada 2026, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap prospek ekonomi negeri,” katanya. -UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN