PETALING JAYA: SumiSaujana, menandatangani kontrak dengan Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. (PRCSB) bagi pembekalan dan penghantaran Di-tert-butyl Polysulfide (TBPS), Ethyl Mercaptan (EM) serta perkhidmatan In-situ Sulfiding di Pengerang, Johor.
Dalam maklumkan di Bursa Malaysia, SumiSaujana memberitahu, kontrak selama tiga tahun tersebut ditandatangani melalui anak syarikat milik penuhnya, SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. (SSTCM).
Kontrak ini melibatkan tenaga kerja, peralatan, bahan dan logistik serta bertujuan menyokong operasi PRCSB di kompleks bersepadu penapisan dan petrokimia mereka di Pengerang.
Menurutnya, kontrak itu bersifat call-out, tidak mempunyai nilai tetap, bukan eksklusif dan PRCSB tidak diwajibkan membuat sebarang pesanan minimum.
“Kontrak ini tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih dan tahap penggayaan kewangan SumiSaujana serta anak syarikat kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
“Namun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak. Kontrak ini juga tidak memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pemegang saham syarikat,” katanya.
Tambahnya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.
Syarikat turut menjelaskan bahawa kontrak ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa regulatori dan semua langkah perlu akan diambil untuk memastikan syarat kontrak dipatuhi serta risiko diurus dengan baik.
PRCSB merupakan pemilik dan pengendali fasiliti penapisan serta steam cracker yang merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu penapisan dan petrokimia di Pengerang, Johor. – UTUSAN










