PETALING JAYA: Straits Energy Resources Berhad mengukuhkan komitmennya terhadap agenda hijau apabila anak syarikatnya, Benua Hijau Sdn. Bhd., meraih Anugerah Kelestarian Alam Sekitar di bawah kategori Perlindungan Biodiversiti & Sumber Asli pada Anugerah ESG PLUS 2025.
Pengiktirafan itu diberikan atas kejayaan projek pemulihan besar-besaran di Setiu Wetlands State Park, kawasan tanah lembap semula jadi yang menjadi antara khazanah ekologi terpenting di Pantai Timur Semenanjung.
Anugerah ESG PLUS, yang kian berkembang sebagai platform penanda aras amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Asia, turut disokong oleh Persatuan ESG Malaysia dan Baker Tilly Malaysia.
Pengarah Urusan Straits Energy Resources Berhad, Datuk Sri Ron Ho Kam Choy berkata, kemenangan tersebut sebagai dorongan untuk syarikat terus meneroka inisiatif kelestarian yang memberi pulangan jangka panjang kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Komitmen itu dizahirkan melalui pendekatan praktikal yang dilaksanakan secara bersama rakan kongsi dan pihak berkepentingan dalam usaha memulihkan ekosistem kritikal Setiu Wetlands,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Projek Benua Hijau, Dr. Paul Yap turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN), Pejabat Tanah Setiu serta institusi pendidikan dan NGO tempatan yang menyokong usaha penghutanan semula berkenaan.
“Penglibatan secara langsung komuniti setempat telah meningkatkan kesedaran pemuliharaan dan mempercepatkan usaha memulihkan kawasan yang terjejas,” katanya.
Setiu Wetlands yang merangkumi lebih 20,234 hektar terkenal dengan sembilan ekosistem saling berkait termasuk laut, pantai, muara, lagun, hutan bakau, pulau dan dataran lumpur, menjadikannya antara hotspot biodiversiti terpenting di Malaysia.
Dalam komitmen lima tahun, Benua Hijau menyasarkan penanaman 100,000 pokok Gelam (Melaleuca) bagi memulihkan kira-kira 81 hektar kawasan hutan terdegradasi.
Pada September lalu, organisasi itu turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records bagi penganjuran “Acara Penanaman Pokok Melaleuca cajuputi Terbesar” selepas menggerakkan penanaman lebih 12,000 anak pokok Gelam dalam tempoh sehari. – UTUSAN










