ST laksana penarafan bintang baharu produk penyaman udara bagi 2026-2029 - Utusan Malaysia

ST laksana penarafan bintang baharu produk penyaman udara bagi 2026-2029

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) akan melaksanakan jadual penarafan bintang baharu bagi produk penyaman udara untuk tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2029, selaras dengan Garis Panduan Produk Penggunaan Tenaga yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025.

ST berkata, pelaksanaan penarafan bintang baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan tahap kecekapan tenaga serta menggalakkan penggunaan produk elektrik yang lebih cekap dan mampan.

Katanya, di bawah jadual penarafan bintang baharu ini, nilai minima penarafan di bawah Standard Prestasi Tenaga Minima (MEPS) telah dikemaskini dan ditingkatkan, mengambil kira kriteria penarafan bintang yang telah diperketatkan bagi mencerminkan kemajuan teknologi dan piawaian kecekapan tenaga semasa yang lebih tinggi.

“Dalam tempoh peralihan ini, akan terdapat produk penyaman udara di pasaran yang masih menggunakan label penarafan kecekapan tenaga yang lama.

Ini adalah kerana pemakaian penarafan bintang baharu ini hanya terpakai kepada produk yang mengemukakan permohonan Perakuan Kecekapan Tenaga selepas 1 Januari 2026 dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, suruhanjaya berkata, produk yang telah memperoleh Perakuan Kecekapan Tenaga sebelum 1 Januari 2026 masih dibenarkan menggunakan label sedia ada sehingga tamat tempoh sah laku perakuan tersebut, selaras dengan mekanisme pelaksanaan yang telah ditetapkan.

ST berkata, sekiranya tahun yang tertera pada label penarafan kecekapan tenaga bagi penyaman udara adalah tahun 2026, maka jadual penarafan bintang pada label adalah berdasarkan jadual penarafan bintang yang baharu.

“Pengguna dinasihat memberi perhatian kepada maklumat yang tertera pada label penarafan kecekapan tenaga di penyaman udara, termasuk penggunaan tenaga dan tahun yang dipaparkan pada label.

“Sila imbas kod QR pada label tersebut bagi mendapatkan makluman terperinci mengenai Perakuan Kecekapan Tenaga bagi penyaman udara tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, maklumat lanjut mengenai perkara tersebut boleh didapati di laman sesawang ST di http://www.st.gov.my/eeca > Energy Using Product (EUP) atau hubungi ST melalui emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN