PETALING JAYA:Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Seremban Sentral bakal menjadi pemacu ekonomi baharu Negeri Sembilan melalui jangkaan penjanaan sehingga RM300 juta hasil perniagaan setahun.
Projek itu juga bakal menyediakan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu merangkumi sektor kesihatan, peruncitan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan.
Majlis pecah tanah projek bernilai RM2 billion itu dijalankan di kawasan tanah seluas 20.8 hektar dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway sebagai pemaju projek.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Seremban Sentral bukan sekadar projek pembangunan fizikal semata-mata, tetapi simbol kebangkitan baharu yang bakal memperkukuh identiti bandar tersebut sebagai pusat ekonomi moden dan mampan.
“Kita bukan sahaja membentuk masa depan Seremban, malah turut mengangkat nilai warisan ke dalam arus kemajuan bagi memastikan pembangunan ini direalisasikan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan berkata, fasa pertama projek berkenaan siap menjelang 2030 yang memfokuskan kepada komponen–komponen teras seperti pusat kesihatan dan kompleks komersial.
“Fasa ini melibatkan pembinaan Sunway Medical Centre Seremban berkapasiti lebih daripada 250 katil dengan keluasan 480,000 kaki persegi, terletak bersebelahan Stesen Keretapi Seremban.
“Kemudian, pembinaan sebuah pusat membeli-belah berkeluasan 1.2 juta kaki persegi yang akan diuruskan oleh Sunway Malls sebagai pusat komersial moden, tarikan gaya hidup kontemporari serta bakal nadi ekonomi baharu di kawasan sekitar.
“Turut dibangunkan adalah sebuah menara pejabat berkeluasan 300,000 kaki persegi akan disediakan bagi menawarkan ruang kerja moden dan fleksibel yang menyokong pertumbuhan perniagaan di Seremban,” katanya.
Jelas beliau, fasa kedua pula melibatkan pembangunan tambahan kediaman, komersial dan kemudahan komuniti (serviced apartment) berkeluasan 3.2 juta kaki persegi yang akan dibangunkan secara berperingkat bermula tahun 2029 hingga 2039.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, projek Seremban Sentral juga bakal memberi manfaat utama kepada negeri berkenaan selaras visi ke arah mobiliti bandar moden.
“Pembangunan ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan momentum aktiviti ekonomi tempatan serta mobiliti rakyat sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian menghubungkan perjalanan antara kerja, kediaman, pusat kesihatan dan gaya hidup.
“Kami berhasrat menjadi rakan strategik RAC dalam pembangunan Seremban Sentral bagi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara mampan dan inklusif, sambil memberi manfaat sosial kepada komuniti secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN










